Schumacher tidak lagi terlantar di atas katil
Ian Johan Ariff
Disember 17, 2018 20:04 MYT
Disember 17, 2018 20:04 MYT
MENURUT laporan akhbar Jerman dan United Kingdom, legenda Formula One, Michael Schumacher sebenarnya tidak terlantar di atas katil atau terpaksa makan menggunakan tiub.
Ia merupakan satu perkembangan yang positif buat peminat Schumacher yang tertanya-tanya mengenai tahap kesihatannya.
Pada 29 Disember ini, genap lima tahun pelumba Jerman itu terjatuh semasa bermain ski dengan anaknya di French Alps, yang menyebabkannya mengalami kecederaan yang serius pada otaknya.
Kini Schumacher menjalani rawatan ekstensif bernilai £50,000 (RM263,483) seminggu dan terdapat khabar angin bahawa beliau akan menjalani rawatan lanjutan di sebuah klinik khas di Dallas, Amerika Syarikat.
Buat masa ini, Schumacher menjalani pemulihan dan kehidupan peribadinya di sebuah rumah agam miliknya bernilai £50 juta di tepi Tasik Geneva di Switzerland.
Keadaan kesihatannya dirahsiakan oleh ahli keluarganya sejak kemalangan tersebut atas permintaan isterinya, Corinna dan sehingga sekarang tidak ada seorang pun yang mendedahkan keadaan sebenar bekas jaguh Formula One itu.
Bekas ketua pasukan Ferrari, Jean Todt juga dilaporkan melawat Schumacher dua kali setiap bulan di rumahnya dan bulan ini menonton perlumbaan Grand Prix Brazil bersamanya.
Menurut laporan Mail Online, Todt menyatakan dia terpaksa berhati-hati dalam membuat sebarang kenyataan tetapi memang benar dia menonton perlumbaan tersebut di rumah Schumacher di Switzerland.
Schumacher yang bakal menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-50 pada 3 Januari depan masih memegang rekod pemenang gelaran juara dunia paling banyak, iaitu tujuh gelaran dan 91 perlumbaan Grand Prix.
Beliau juga memenangi 13 perlumbaan berturut-turut pada 2014, jumlah yang paling banyak dicatat oleh mana-mana pelumba.
Sejumlah 51 perlumbaan yang dimenanginya dilakukan tanpa memulakan perlumbaan di petak paling hadapan.