Schooling jadi tumpuan Sukan SEA KL hari ini
Bernama
Ogos 20, 2017 06:26 MYT
Ogos 20, 2017 06:26 MYT
Selepas muncul pemenang emas Sukan Olimpik Rio tahun lepas, perenang sensasi Singapura, Joseph Schooling bakal mencuri tumpuan utama di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017(KL2017) apabila acara renang membuka tirai hari ini.
Peminat sukan renang sudah pasti tidak sabar untuk melihat kelibat penerjun 'kelas dunia' itu yang akan memulakan kempen dalam acara 50 meter kuak kupu-kupu di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil.
Bukan sahaja peminat tuan rumah malah seluruh warga KL2017 tertunggu kemunculan Schooling untuk menggalas cabaran dalam enam acara selepas menghadiahkan sembilan emas di laman sendiri ketika Singapura menjadi tuan rumah Sukan SEA ke-28, dua tahun lepas.
Penerjun berusia 22 tahun itu sedar bahawa beliau menggalas tugas berat untuk memastikan status sebagai bintang dunia selepas mencetuskan fenomena di negara kelahirannya apabila menghadiahkan pingat emas Olimpik pertama untuk Singapura.
Beliau mengejutkan lagenda renang Amerika Syarikat, Michaels Phelps serta memadam rekod Olimpik dengan catatan 50.39s dalam acara 100m kuak kupu-kupu di Rio.
Selain Schooling, sudah pasti bekas perenang Olimpik 2012 London, Nguyen Thi Anh Vien turut memasang misi besar untuk mencuri tumpuan apabila mengetuai cabaran skuad Vietnam selepas membolot lapan pingat emas di Singapura, dua tahun lepas.
Acara renang menawarkan pingat emas paling banyak di KL2017 iaitu sebanyak 38 pingat dalam kategori lelaki dan wanita, sekali gus menjadi lubuk emas untuk negara peserta.
Biarpun Schooling menjadi tumpuan utama, namun Malaysia tidak ketinggalan untuk memburu emas menerusi jaguh gaya bebas negara, Welson Sim serta ratu kuak dada, Phee Jinq En yang dijangka mampu menyumbang dua emas dalam acara masing-masing.
Welson dan Jinq En merupakan pemenang pingat emas pada temasya di Singapura, masing-masing dalam acara 400m gaya bebas dan 100m kuak dada.
Seorang lagi perenang lelaki negara, Wong Fu Kang turut menjadi sandaran emas acara 100m kuak dada.
Sebagai rekod, skuad renang negara membawa pulang tiga emas, empat perak dan empat gangsa di Singapura manakala tuan rumah meraih 23 emas, 12 perak dan tujuh gangsa.
-- BERNAMA