Scheffler sifatkan penahanannya "huru-hara" dan "salah faham"

Agensi
Mei 17, 2024 05:45 MYT
Scottie Scheffler menyifatkan penahanannya pada pagi Jumaat sebagai "salah faham" sambil menambah dia sangat "terkejut" selepas apa yang berlaku. - Gambar AP
LOUISVILLE: Pemain golf nombor satu dunia, Scottie Scheffler menyifatkan penahanannya pada pagi Jumaat sebagai "salah faham" sambil menambah dia sangat "terkejut" selepas apa yang berlaku.
Scheffler berkata, dia sangat terkejut apabila dia ditahan.
“Ia adalah keadaan yang sangat huru-hara kerana saya difahamkan berlaku kemalangan tragis berlaku sebelum itu, dan terdapat salah faham besar tentang apa yang saya fikir saya diminta lakukan.
“Saya tidak pernah berniat sama sekali untuk ingkar mana-mana arahan. Saya berharap dapat mengetepikan perkara ini dan memberi tumpuan kepada golf hari ini (Jumaat),” kata Scheffler dalam kenyataan yang dikongsi di akaun media sosial.
Bahkan, tegas Scheffler, tidak pernah sama sekali dia “menjual” namanya kepada pegawai polis semata-mata untuk tidak ditahan selain tidak boleh mengulas "mengenai butiran" penahanan itu.
Ketika di penjara, apa yang mampu dilakukannya ialah meregangkan badan dan membuat persediaan mental untuk pusingan kedua ketika di penjara.
Dalam masa sama, Scheffler berkongsi simpati kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia dalam kemalangan berkenaan.
Scheffler kini berada dalam kedudukan seri untuk tempat ketiga pada sembilan bawah par untuk kejohanan itu.
Pada Jumaat, dia digari dan ditahan polis selepas didakwa cuba melanggar kawalan lalu lintas di luar
kawasan Kejuaraan PGA di Valhalla.
Scheffler ditahan oleh seorang pegawai polis Louisville Metro apabila dia terus memandu tanpa mengendahkan arahan untuk berhenti kerana terdapat kemalangan berdekatan kawasan lapangan golf itu, di mana dia dijadualkan bertanding pada pusingan kedua kejohanan. - Agensi
#Scottie Scheffler #Scottie Scheffler ditahan polis #pemain golf nombor satu #Kejuaraan PGA
;