Sazali teruskan perancangan walaupun masih digantung
Astro Arena
Disember 14, 2019 07:49 MYT
Disember 14, 2019 07:49 MYT
BEKAS jaguh bina badan negara, Sazali Samad, sudah memiliki perancangan menyertai dua kejohanan bagi musim 2020 meskipun proses penggantungan ekoran kes doping pada 2014 dilanjutkan empat tahun lagi.
Dia mengambil keputusan untuk bergerak solo mengenai penglibatannya dalam mana-mana kejohanan bina badan amatur dan profesional bermula tahun 2016 dan menggunakan pembiayaan sendiri selain mendapat jemputan ke kejohanan.
Tahun lalu menyaksikan atlet bina badan berusia 52 tahun itu masih berbisa dengan kemenangan dalam empat daripada lima kejohanan yang disertai.
Walaupun Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF) melanjutkan penggantungan selama empat tahun lagi susulan tindakannya menyertai kejohanan antarabangsa dalam tempoh sebelum itu, dia tidak peduli dengan tindakan itu, sebaliknya bertegas meneruskan kariernya.
"Alhamdulillah, sekarang makan sedap (menang empat daripada lima kejohanan) tetapi masih dalam kawalan.
"Walaupun sudah habis kejohanan, kami tetap teruskan latihan dan penjagaan kesihatan, termasuk pengambilan vitamin dan sebagainya. Ia perlu diteruskan untuk mengekalkan bentuk tubuh," katanya.
Buat masa ini, Sazali masih dalam persiapan bagi menghadapi dua kejohanan tahun depan, Klasik Ronnie Coleman pada April 2020 di Indonesia selain Liga Profesional IFFB di Bangkok sebulan kemudian.
"Saya perlu mempersiapkan diri dan terus mengekalkan penjagaan kesihatan."