Sazali Samad mahu bangkit selepas jalani penggantungan lapan tahun
Abd Razak Mohd Ali
Disember 31, 2023 09:55 MYT
Disember 31, 2023 09:55 MYT
TAIPING: Jaguh bina badan negara Sazali Samad tidak mahu lagi menoleh ke belakang selepas sejarah hitam penggantungan lapan tahun yang berakhir 23 September lepas.
Sebaliknya, juara dunia Mr Universe 10 kali itu mahu bangkit menjadi antara pencabar utama sukan bina badan dunia.
Menurutnya, apa yang membelenggu dirinya dalam tempoh hukuman penggantungan lapan tahun itu, banyak memberi pengajaran kepadanya.
“Saya anggap Ini semua ujian Allah, buat saya, banyak hikmah yang lebih baik dan luas.
“Saya tetap teruskan kehidupan saya bersama keluarga saya, anak-anak saya dan saya juga dapat membentuk legasi, anak saya Mohd Azim, mengikuti jejak saya,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan The Hero Fitness & Gym di Kamunting, di sini, malam tadi.
Akuinya, sebagai seorang yang suka mengumpul koleksi, dia mahu terus mengambil bahagian dalam kejohanan bina badan.
“Selepas ini, saya terus jaga pemakanan saya, diet saya dan teruskan latihan saya.
“Jadi, apabila ada sasaran, lebih senang, lebih mudah, insya-Allah, doakanlah,” ujarnya.
Sazali dikenakan hukuman penggantungan empat tahun mulai 22 Sept 2015 hingga 22 Sept 2019 selepas gagal ujian doping yang dijalankan Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) pada 1 Sept 2015.
Dia kemudiannya dijatuhkan hukuman gantung empat tahun lagi susulan tindakannya menyertai Kejohanan China Sports Show Fearless Bodybuilding Physique & Bikini di Shanghai pada penghujung Mei 2018.
Sazali memenangi gelaran Mr Universe pada 2000, 2004, 2006, 2007, 2009, 2010, 2011, 2012, 2013 dan 2014 selain menggondol sembilan gelaran Mr Asia - 1996, 1998, 1999, 2000, 2004, 2009, 2010, 2012 dan 2014.
Malah, dia pernah dijulang sebagai Olahragawan Kebangsaan sebanyak empat kali - 2006, 2010, 2013 dan 2014, sekali gus dilabel antara atlet paling berjaya di negara ini.