Saya tidak menjangkakan kekalahan ini - Guardiola

Astro Arena
Oktober 3, 2016 10:17 MYT
Pep Guardiola menyaksikan perlawanan antara Tottenham Hotspur dan Manchester City di White Hart Lane, London, pada Ahad, 2 Oktober, 2016. / AFP PHOTO / IKIMAGES / Ian KINGTON
PENGURUS Manchester City, Pep Guardiola, mengakui mereka tewas kepada pasukan yang lebih baik selepas menyaksikan pasukannya kecundang 2-0 di tangan Tottenham Hotspur dalam saingan Liga Perdana Inggeris, pada Ahad.
City, yang mendahului carta liga ketika ini dengan kelebihan satu mata, ketinggalan menerusi jaringan gol sendiri Aleksandar Kolarov sebelum Delle Alli menambah duka pasukan pelawat.
Meskipun penjaga gol, Claudio Bravo, berjaya menyelamatkan gawang daripada bolos buat kali ketiga apabila berjaya menyelamatkan sepakan penalti Erik Lamela pada minit ke-65, namun tidak dinafikan bekas penjaga gol Barcelona itu gagal mengawal tekanan di sepanjang perlawanan.
"Mereka bermain lebih baik," Guardiola memberitahu Sky Sports.
"Kami gagal memulakan serangan dengan baik kerana Spurs memberi tekanan hebat.
"Tahniah kepada mereka.
"Selepas bolos dengan gol pertama, sukar untuk bangkit dengan semangat yang sama.
"Kami tahu Spurs akan memberi tekanan sebaik bermula perlawanan. Itulah yang kami mahu lakukan tetapi mereka melakukannya dengan lebih baik."
Guardiola akur dengan kekalahan itu, selepas diikat seri 3-3 oleh Celtic dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada Selasa.
"Ini sudah menjadi sebahagian daripada tugas kami. Saya tidak menjangkakan kekalahan ini tetapi ini perkara biasa.
"Saya di sini untuk melakukan tugas saya. Setakat ini, pemain bermain dengan baik tetapi masih banyak yang perlu dilakukan."
#Liga Perdana Inggeris #Manchester City #Pep Guardiola #Tottenham Hotspur
;