Saya tidak mahu lagi kerah kudrat - Mike

Sinar Harian
Mac 20, 2024 09:40 MYT
Mike berkata, masalah kecederaan yang membelenggunya lebih 20 tahun menjadi faktor utama beliau membuat keputusan untuk bersara. - Foto Agensi/Sinar Harian
JAGUH bina badan negara, Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah meluahkan hasrat untuk bersara selepas menabur bakti buat negara selama 26 tahun dalam sukan tersebut.
Biarpun berat hati untuk membuat keputusan tersebut, namun badang berusia 51 tahun itu merasakan ia masa yang sesuai untuk dia mengundur diri.
Mohd Syarul Azman yang terkenal dengan julukan Mike memberitahu, masalah kecederaan yang membelenggunya lebih 20 tahun menjadi faktor utama beliau membuat keputusan tersebut.
"Saya mengalami kecederaan kaki (lutut kanan) dan bahu sejak 2001 lagi.
"Sudah lama saya menanggung kesakitan, namun kerana sayangkan sukan ini saya gagahkan diri demi negara.
"Setelah lama berfikir, ini masa sesuai untuk saya bersara," katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.
Mike yang tidak jemu mengharumkan nama negara di pentas dunia itu boleh berbangga dengan pencapaiannya apabila bergelar juara dunia dan juara Asia sebanyak enam kali serta pernah menghadiahkan satu pingat emas pada Sukan SEA.
Beliau menjelaskan sudah menjalani proses pemulihan di bawah pemantauan Institut Sukan Negara (ISN), namun kecederaan tersebut tidak dapat pulih sepenuhnya.
"Saya mengikuti proses pemulihan dengan ISN.
"Doktor suruh berehat dan saya berehat.
"Kemudian sertai pertandingan.
"Kecederaan berulang dan proses pemulihan pada tahap 50 hingga 60 peratus.
"Jadi saya tidak mahu kerah lagi kudrat ini dan putuskan untuk bersara sebelum mengalami kesakitan atau kecederaan lebih serius apabila tua nanti," katanya.
Mengulas fokusnya apabila bersara nanti, Mike mencongak impian untuk mencungkil bakat baharu dan mengilap mereka untuk menjadi juara dunia.
"Andai persatuan mahu ambil saya sebagai jurulatih, amat dialu-alukan.
"Mana tahu ada pengganti saya sebagai juara dunia," katanya. - Sinar Harian
#Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah #bina badan #bersara #cedera
;