Saya tidak jangka sakit COVID-19 seburuk ini - Irfan Shamsuddin
Astro Arena
Januari 2, 2021 07:51 MYT
Januari 2, 2021 07:51 MYT
JAGUH lempar cakera negara, Irfan Shamsuddin, berkata kesakitan yang ditanggungnya berikutan jangkitan COVID-19 jauh lebih buruk daripada yang dijangkakan.
Pemenang pingat emas dalam empat edisi Sukan SEA itu sedang menjalani sesi latihan di Leipzig, Jerman dan disahkan positif virus berkenaan pada Khamis.
Dalam satu temu bual Nadi Weekend bersama wartawan, Bazly Azmi, pada Sabtu, atlet kelahiran Negeri Sembilan itu menceritakan keperitannya melawan penyakit berkenaan.
"Sewaktu mula-mula dahulu, saya hanya batuk dan selesema. Ia tidak serius dan rasa seperti normal kerana cuaca di sini (Leipzig) pun sejuk.
"Selepas keputusan ujian (COVID-19) keluar, malam itu saya sudah mula menggigil tetapi apabila saya memeriksa suhu, tiada (demam).
"Perasaan saya semalam semakin buruk. Apabila saya bangun, badan saya rasa penat, mata saya merah dan bengkak.
"Saya tidak pernah rasa seperti itu. Saya tidak menjangkakan (sakit) COVID-19 akan seburuk ini.
"Sekarang ini saya berasa amat-amat keletihan dan kepala saya pening," katanya.
Mengulas lanjut, dia menambah: "Kalau ada apa-apa, hospital terdekat hanya 100 meter dari sini.
"Di sini, rawatan hanya akan diberikan apabila (keadaan) sudah teruk."
#Irfan Shamsuddin
#lempar cakera
#sakit
#COVID-19
#jangkitan
#lebih buruk
#Jerman
#suhu badan
#rawatan
#letih
#pening