"Saya tidak cukup bagus" - Guardiola
Astro Arena
Disember 16, 2024 08:45 MYT
Disember 16, 2024 08:45 MYT
MAN CITY 1 MAN UTD 2
Pep Guardiola berkata, dia tidak cukup baik selepas Manchester City tumbang dalam perlawanan 'derby' kepada Manchester United, awal pagi tadi.
Guardiola menyaksikan barisannya mengalami kekalahan lewat permainan di tempat sendiri selepas dihukum menerusi gol Bruno Fernandes dan Amad Diallo dalam tempoh berselang dua minit untuk membatalkan jaringan awal hasil tandukan Josko Gvardiol.
City hanya tewas empat daripada 105 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di tempat sendiri dengan separuh daripada kekalahan itu berlaku ketika menentang United.
Keputusan itu meletakkan The Citizens di tangga kelima - sembilan mata di belakang pendahulu, Liverpool dan dipalit kekalahan kelapan dalam 11 perlawanan terakhir.
Dan Guardiola - yang menyaksikan City mencipta 10 peluang - percaya dia bukanlah orang yang tepat untuk memimpin City berdasarkan kemerosotan mereka baru-baru ini.
"Tidak banyak yang perlu diperkatakan. Tiada apa yang boleh dipertahankan, pemain sangat gigih. Kami tidak tewas lapan perlawanan dalam tempoh dua musim. Kami tidak boleh berselindung. Ini bukan tentang kumpulan pemain ini," katanya.
"Kami memberikan gol, itu kesilapan kami. Kami tidak bermain dengan tenang. Keputusan ini tidak bagus. Perlawanan ini bukanlah luar biasa. Saya tahu situasinya, saya faham tetapi realitinya beginilah.
"Mereka perlu tahu situasi yang sedang berlaku. Di dalam kotak penalti, anda perlu berhati-hati. Ini bukan tentang Matheus Nunes, dia bermain dengan sangat baik di posisi yang bukan kegemarannya sebagai bek sayap.
"Tetapi bukan soal itu, kami patut bermain dengan lebih baik. Cara saya belajar tentang kemelut ini ialah teruskan berjuang. Saya tidak cukup bagus. Saya bos, pengurus, saya perlu mencari penyelesaian dan setakat ini, saya belum temuinya. Itulah hakikatnya.
"Kami mahu beraksi dengan lebih baik, mencipta peluang. Tetapi buat masa ini, ia tidak mungkin." - Stadium Astro