Saya tidak berikan diskaun untuk Hamsik, kata presiden Napoli
Astro Arena
Mei 30, 2018 09:47 MYT
Mei 30, 2018 09:47 MYT
KAPTEN Napoli, Marek Hamsik, tidak akan dibenarkan meninggalkan pasukan dengan harga murah untuk Liga Super China (CSL) hanya kerana 11 tahun perkhidmatannya, kata presiden, Aurelio De Laurentiis.
Hamsik kelmarin mengesahkan bahawa dia menimbang tawaran daripada sebuah kelab CSL yang dilaporkan adalah Shandong Luneng selepas dia membantu Napoli menduduki tangga kedua dalam Serie A.
Ia merupakan tempoh yang goyah di kelab sejak kempen berakhir, dengan Carlo Ancelotti menggantikan Maurizio Sarri dan sekarang kaptennya, Hamsik - yang berhijrah dari Brescia pada 2007 - mungkin mengikuti bekas jurulatihnya itu untuk keluar.
Hamsik mengakui tergoda untuk berpindah ke China, tetapi De Laurentiis kelihatan bersedia untuk menyukarkan prosesnya bagi pemain kelahiran Slovakia yang berusia 30 tahun itu.
Bercakap di University of Naples Federico II, De Laurentiis berkata: "Saya memberitahu dia (Hamsik), 'ke mana kamu akan pergi? Ini rumah kamu'.
"Selepas itu terserah kepadanya jika dia mahu meninggalkan kelab, tetapi saya tidak akan memberikan diskaun untuk sesiapa sahaja."
De Laurentiis juga menamatkan sebarang harapan untuk Mario Balotelli menyertai Napoli, meletakkan kepercayaan kepada pemain sedia ada di kelab berbanding penyerang itu, yang kembali bersama pasukan kebangsaan selepas empat tahun dan menjaringkan gol dalam kemenangan 2-1 ke atas Arab Saudi, semalam.
"Kami tidak mempertimbangkan (Balotelli)," kata De Laurentiis. "Dia luar biasa, tetapi kami perlu mempertimbangkan pemain yang sudah berada di sini bersama Ancelotti ketika pra-musim.
"Kami mempunyai ramai pemain penyerang, jadi kami tidak boleh membahayakan mereka yang sudah berada di sini dan yang tidak pernah bermain untuk Napoli.
"Menganggap bahagian serangan adalah keutamaan kami (dalam pasaran perpindahan) adalah kesilapan. Keutamaan kami adalah berbeza."
#Aurelio De Laurentiis
#bola sepak
#China
#CSL
#kesilapan
#Marek Hamsik
#Napoli
#perpindahan
#serangan
#tawaran