'Saya tiada niat untuk cari gaduh dengan sesiapa, termasuk persatuan'

Astro Arena
Ogos 8, 2024 05:41 MYT
An Se-young turut menyatakan kelemahan pengurusan Persatuan Badminton Korea dengan tidak mementingkan kebajikan dirinya sewaktu beliau mengalami kecederaan lutut pada Sukan Asia pada Oktober 2023. - Foto Astro ARENA
PEMAIN perseorangan wanita Korea Selatan dan juga pemenang pingat emas Sukan Olimpik Paris 2024, An Se-young menjelaskan bahawa beliau tidak berniat untuk mencari fasal dengan sesiapa berkenaan kenyataan awal beliau yang mencetuskan kontroversi.
An Se-young, sebelum ini secara terbuka meluahkan ketidakpuasan hatinya terhadap Persatuan Badminton Korea selepas memenangi acara badminton perseorangan wanita di Sukan Olimpik Paris 2024.
Dalam kenyataan awal tersebut, beliau mengkritik sistem pengurusan Persatuan Badminton Korea yang dilihat seperti 'memilih bulu' dengan mengutamakan layanan yang lebih baik kepada pemain beregu berbanding pemain perseorangan.
Beliau turut menyatakan kelemahan pengurusan persatuan tersebut dengan tidak mementingkan kebajikan dirinya sewaktu beliau mengalami kecederaan lutut pada Sukan Asia pada Oktober 2023, dengan memaksa beliau untuk beraksi beberapa perlawanan selepas itu dalam kesakitan.
Dalam kenyataan terbaharu seperti yang dinyatakan An Se-young pada Rabu 7 Ogos sekembalinya daripada Sukan Olimpik Paris, beliau menyatakan bahawa tiada niat untuk mencari fasal atau bergaduh dengan sesiapa pun, termasuklah persatuan.
"Ada sesuatu yang ingin saya katakan. Saya tiada niat untuk bergaduh dengan sesiapa. Saya mahu beritahu semua yang saya hanya mahu fokus bertanding" ujar An.
"Saya baru sahaja tiba di sini (Korea), dan saya belum berbincang dengan lagi dengan persatuan. Mungkin selepas ini ada banyak yang saya perlu katakan" tambahnya.
Kementerian Sukan Korea dan Jawatankuasa Sukan & Olimpik Korea (KSOC) telah memberi jaminan bahawa akan menyiasat perkara ini untuk mengenalpasti punca permasalahan ini.
#perseorangan wanita Korea Selatan #Sukan Olimpik Paris 2024 #An Se-young #Persatuan Badminton Korea