Saya tiada kaitan dengan syarikat ambil alih Perak FC - Ahmad Faizal
Abd Razak Mohd Ali
November 28, 2021 16:32 MYT
November 28, 2021 16:32 MYT
IPOH: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menafikan beliau adalah tulang belakang di sebalik pengambilalihan Perak FC daripada sebuah syarikat pengiklanan, Impact Media & Communication (IMC) Sdn Bhd baru-baru ini.
Beliau yang juga bekas Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) menegaskan bahawa beliau tidak ada kena mengena dengan syarikat itu.
“Wallahi wabillahi watallahi saya tidak ada kena mengena dengan syarikat yang mengambil alih Perak FC.
“Kepada mereka yang telah memiliki Perak FC saya ucapkan selamat maju jaya… mesti beringat bahawa rakyat dan para penyokong bola sepak di Perak ini berharapan besar untuk melihat pasukan ini berjaya dan menjadi satu kuasa bola sepak besar di dalam negara,” katanya.
Pada Selasa, PAFA mengumumkan Impact Media & Communication (IMC) Sdn Bhd sebagai pemilik baharu Perak FC selepas 100 peratus pegangan saham badan induk itu dijual kepada syarikat berkenaan.
Pemangku Presiden PAFA, Datuk Muhammad Yadzan Mohammad berkata keputusan itu yang berkuat kuasa hari ini, diambil selepas melihat kesungguhan syarikat berkenaan bagi proses pengambilalihan itu.