‘Saya terkejut bila mula dapat tahu sangkut doping’ - Kumar

Sinar Harian
Disember 29, 2023 08:40 MYT
Bagi Kumar, insiden yang berlaku enam tahun lalu itu disifatkan sebagai satu sejarah hitam sepanjang kariernya bergelar pemain hoki kebangsaan. - Foto Sinar Harian
PADA tanggal 18 Disember 2017, dunia hoki tempatan ‘bergegar’ seketika apabila penjaga gol berpengalaman, S Kumar disahkan positif dalam ujian doping.
Kumar positif bahan terlarang jenis sibutramine ketika menggalas cabaran The Speedy Tigers pada Piala Asia di Dhaka, Bangladesh dua bulan sebelum itu.
Akibatnya, Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) menjatuhkan hukuman penggantungan enam bulan ke atas Kumar yang ketika itu berusia 38 tahun.
Tempoh penggantungan enam bulan itu dikenakan selepas badan induk hoki dunia itu mendapati bahan terlarang tersebut bukan diambil secara sengaja.
Malah, FIH mengambil kira kerjasama yang diberikan Kumar dan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) selain rekod bersihnya dalam 10 ujian doping sebelum itu.
Atas dasar itu, hukuman tersebut berkuat kuasa daripada tarikh sempel air kencing Kumar diambil - 16 Oktober 2017 dan tamat pada 15 April 2018.
Bagi Kumar, insiden yang berlaku enam tahun lalu itu disifatkan sebagai satu sejarah hitam sepanjang kariernya bergelar pemain hoki kebangsaan.
“Memang apabila mula-mula dapat tahu keputusan ujian doping positif, saya cukup terkejut... jiwa saya tiba-tiba rasa kosong pada malam itu.
“Saya tak sangka dan tak tahu bagaimana saya boleh ‘sangkut’ doping.
"Jika diikutkan sebelum itu saya tidak pernah gagal dalam mana-mana ujian doping.
“Jadi sudah tentu saya berasa agak pelik apabila tiba-tiba ‘sangkut’ doping ketika beraksi pada Piala Asia di Dhaka,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.
Sepanjang tempoh penggantungan itu, Kumar terlepas dua kejohanan utama - Piala Sultan Azlan Shah dan Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia.
Sebaik kembali diberi kepercayaan menyarung jersi Malaysia, Kumar tampil beraksi pada Sukan Asia 2018 di Indonesia dan Piala Dunia 2018 di India.
“Bila dapat tahu saya gagal ujian doping, apa yang terlintas dalam fikiran saya pada masa itu hukuman gantung dua tahun... itu saja yang saya ingat.
“Jika itu berlaku sudah tentu susah untuk saya buat come back.
"Tetapi saya bersyukur kerana akhirnya tempoh penggantungan tidak lama (enam bulan).
“Jadi apabila selesai menjalani hukuman penggantungan itu, saya masih sempat mewakili Malaysia pada Sukan Asia dan Piala Dunia sebelum bersara pada 2020,” jelasnya.
Mengimbas kembali insiden yang hampir memusnahkan kariernya itu, Kumar berkata, dia tidak menyangka air coklat yang diminumnya dari rumah mengandungi bahan terlarang sibutramine.
Malah, Kumar berkata, minuman itu yang menjadi punca dia didapati positif oleh Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) ketika beraksi dalam saingan Piala Asia di Dhaka pada Oktober 2017.
“Selalu saya ambil suplemen daripada Institut Sukan Negara (ISN) dan tidak pernah beli produk dari luar, tetapi itulah... perkara sudah berlaku.
“Air itu nampak normal dan saya tidak syak apa-apa sehinggalah FIH mendapati produk itu mempengaruhi elemen meningkatkan prestasi diri,” ujarnya.
Bagi mengelak kejadian sama berulang kepada atlet negara yang lain, Kumar menitipkan pesan agar mereka lebih berwaspada apabila mahu membeli sebarang produk, ubat-ubatan atau suplemen.
“Setiap atlet mahupun jurulatih perlu memastikan kandungan ubat atau suplemen yang diambil tidak mengandungi bahan terlarang yang ditegah WADA.
“Atlet boleh rujuk dan dapatkan nasihat pakar seperti doktor atau pakar fisiologi selain boleh mendapatkan maklumat di Internet untuk menambah ilmu pengetahuan mengenai doping.
“Tolong ikut arahan atau nasihat diberikan oleh pakar, jika tidak selamat, jangan ambil... yang merana nanti atlet itu sendiri,” katanya. - Sinar Harian
#doping #S Kumar #hoki #bahan terlarang
;