Saya terima suntikan harian selama setahun di bawah Mourinho - Terry
Astro Arena
Jun 2, 2017 08:28 MYT
Jun 2, 2017 08:28 MYT
JOHN Terry pada Khamis mendedahkan bahawa dia terpaksa menerima suntikan harian selama setahun ketika saingan musim 2014-15 selepas Jose Mourinho memintanya untuk tetap beraksi dalam keadaan cedera.
Pemain yang bakal meninggalkan Chelsea pada 30 Jun ini menjelaskan, pengorbanannya untuk Chelsea itu dilakukan selepas Mourinho terdesak untuk menurunkannya sewaktu perlawanan dan juga sesi latihan.
“Saya masih ingat sewaktu Mourinho amat memerlukan saya di padang latihan dalam keadaan ada tulang yang patah,” kata Terry.
“Saya terpaksa menerima suntikan setiap hari disebabkan kecederaan patah tulang kaki dan jari kaki, kadangkala dua kali sehari, satu sebelum latihan bermula dan terpaksa menambah suntikan kerana sesi latihan yang berpanjangan.
“Ia seperti satu kekuatan untuk saya menghadapinya, bermain dalam kesakitan hampir sepanjang tahun dan saya akan melakukannya lagi jika perlu,” ujar pemain berusia 36 tahun itu.
“Anda mahu memberikan segalanya kepada bola sepak selepas apa yang anda raih bersamanya,” katanya.