'Saya tak peduli parti apa pun yang anda wakili, sebab ini bola sepak!' - TMJ

Madiha Abdullah
November 2, 2017 21:52 MYT
TMJ melihat campur tangan politik dilihat menjadi salah satu punca ketegangan hubungan antara penyokong Kedah dan JDT sejak kebelakangan ini.
PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, telah berhubung dengan Setiausaha Agung FAM, DatukHamidin Mohd. Amin, untuk menguruskan isu tiket perlawanan akhir Piala Malaysia untuk penyokong Kedah.
Ia susulan masalah yang timbul pada Rabu ketika sesi penjualan tiket, apabila penyokong Kedah mendakwa terdapatnya kepincangan dalam pengagihan tiket untuk perlawanan berkenaan.
Atas budi bicara TMJ dan kerjasama FMLLP, 1,000 keping tiket tambahan akan dicetak untuk memberi peluang kepada lebih ramai penyokong Kedah hadir ke stadium pada perlawanan yang akan berlangsung Sabtu ini itu.
Dalam satu kemas kini status di akaun Facebook FAM, TMJ turut membidas sikap sesetengah pihak dalam pengurusan bola sepak Kedah yang tanpa berselindung mencampur adukkan bola sepak dan politik.
"Kita semua harus terus bersatu untuk terus menyingkirkan elemen politik dalam sukan bola sepak.
"Jika kita bergaduh, inilah yang mereka mahukan. Inilah agenda dan strategi yang digunakan dari dahulu lagi oleh parti politik iaitu 'divide and conquer'," tegas TMJ.
TMJ juga kesal dengan sikap segelintir pihak dalam persatuan yang dianggap hanya hebat dalam 'cakap-cakap belakang', sedangkan tidak mempunyai sebarang pencapaian.
"Mereka ini bercakap mengenai bola sepak macam pandai sangat, macam dah bertahun-tahun menguruskan persatuan atau kelab yang maju.
"Sesetengah individu-individu ini pernah berjalan bersebelahan saya. Dia fikir apabila dia bernafas udara yang sama dengan saya, dia adalah segala-galanya. Tetapi itu tidak benar sama sekali," kata TMJ sinis.
Dalam status itu juga, TMJ sekali lagi mengulangi janjinya untuk menghapuskan elemen kroni yang selama ini membelenggu persatuan induk bola sepak negara itu.
"Saya tiada niat nak menyekat rezeki orang cuma saya hanya menjalankan tanggungjawab dan amanah yang diberikan kepada saya untuk menjaga duit persatuan.
"Maaf, tiada lagi cronism dalam persatuan ini," katanya.
#bola sepak #JDT #Kedah #Piala Malaysia #TMJ #Tunku Ismail Sultan Ibrahim
;