Saya tahu apa nak buat untuk menang Ballon d'Or - Mbappe

Astro Arena
Disember 9, 2024 12:00 MYT
Penyerang Real Madrid berkenaan telah menjaringkan sembilan gol daripada 15 penampilan LaLiga pertamanya sejak menyertai Real Madrid. - Stadium Astro
KYLIAN Mbappe yakin dia akan menang Anugerah Ballon d'Or sambil menegaskan tahu apa yang perlu dilakukannya untuk memenangi anugerah individu paling berprestij itu.
Penyerang Real Madrid berkenaan telah menjaringkan sembilan gol daripada 15 penampilan LaLiga pertamanya sejak menyertai Los Blancos daripada Paris Saint-Germain (PSG).
Bagaimanapun, dia hanya menjaringkan satu gol daripada dalam lima penampilan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) bersama pasukan juara bertahan itu.
Gelaran UCL masih tidak dapat didakap Mbappe sepanjang penglibatannya, di mana pemenang Piala Dunia 2018 itu hampir dapat melakukannya ketika membantu PSG dalam final musim 2019-20 sebelum mereka tewas kepada Bayern Munich.
Pun begitu, pemain berusia 25 tahun berkenaan berasakan dia sedang berada di pasukan terbaik untuk memenangi kejohanan tertinggi peringkat kelab Eropah itu selain beberapa gelaran lain dalam senarai impiannya.
"Trofi mana yang tinggal buat saya? UCL, kerana itulah saya berada bersama kelab terbaik," kata Mbappe kepada Canal+.
"Dan juga Euro, dan kenapa tidak untuk (pingat emas) Sukan Olimpik suatu hari nanti? Trofi individu seperti Ballon d'Or juga dalam senarai.
"Saya tahu apa yang perlu dilakukan untuk memenanginya, banyak perkara di dalam dan luar lapangan.
"Apabila saya melakukan sesuatu, saya perlu lakukan untuk memenanginya. Saya akan memenanginya," katanya. -- Stadium Astro
#Kylian Mbappe #Ballon d'Or #Real Madrid #Piala Dunia
;