Saya sudah penat - Meng Yean tinggalkan BAM kerana tertekan
Astro Arena
Januari 31, 2022 08:31 MYT
Januari 31, 2022 08:31 MYT
"SAYA sudah penat," kata pemain beregu wanita negara, Lee Meng Yean, yang memilih untuk meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Selepas sembilan tahun di bawah naungan badan induk itu, Meng Yean akhirnya memilih untuk membawa haluan berbeza kerana tidak dapat menanggung tekanan sebagai pemain kebangsaan, terutama selepas menjadi antara pemain paling senior.
Dalam satu temu bual bersama wartawan Astro Arena, Syakirah Zulkifly, dia berkata: "Sudah sembilan tahun saya dalam BAM, saya rasa sudah cukuplah dan sudah sampai masanya untuk saya keluar dan menghadapi cabaran baru.
"Saya rasa sudah sampai masanya untuk saya menghadapinya.
"Selepas (Chow) Mei Kuan bersara, saya digandingkan dengan beberapa pemain muda untuk melihat siapa yang lebih sesuai.
"Selepas dia bersara, hati sudah ada sedikit letih. Orang atas pula terus memberikan tekanan buat saya kerana saya antara pemain paling senior.
"Ketika itu, sekiranya saya tidak mendapatkan keputusan yang baik, saya akan berasa amat tertekan memandangkan saya bergandingan dengan orang baru.
"Kemudian, seluruh Malaysia, bahkan seluruh dunia sedang memerhatikan saya dan kebanyakan komen sudah tidak berapa baik dan saya berasa amat tertekan sehingga saya memilih untuk berhenti.
"Sebenarnya saya sudah lama menghantar surat (peletakan jawatan), sebulan lalu, sebelum Lee Zii Jia.
"Sekarang saya memilih untuk berehat sepanjang Februari ini.
"Saya mahu kembali segar dan merancang segala-galanya, jadi saya hanya akan bermula semula pada Mac ini.
"Selepas itu ada dua kemungkinan. Mungkin saya akan bermain secara profesional atau saya akan bersara sepenuhnya," katanya.