"Saya sudah nyawa-nyawa ikan sebelum aksi final" - Azizulhasni
Bernama
April 6, 2018 22:38 MYT
April 6, 2018 22:38 MYT
Walaupun jaguh berbasikal trek negara Mohd Azizulhasni Awang gagal menyumbang pingat dalam acara keirin hari ini, pujian harus diberikan kepada beliau kerana masih bersemangat kental dan tetap berjuang memikul cabaran negara di Sukan Komanwel 2018, meskipun tahap kesihatannya tidak begitu mengizinkan.
Beliau mungkin boleh menarik diri daripada mengambil bahagian di temasya kali ini, namun memikirkan tanggungjawab kepada negara, Mohd Azizulhasni bertegas mahu meneruskan perlumbaan dalam acara keirin namun terpaksa akur dengan keputusan jurulatihnya John Beasley untuk menarik diri dalam acara pecut lelaki.
Malah, dalam keadaan kesihatan yang masih belum pulih sepenuhnya, Mohd Azizulhasni masih mempamerkan kayuhan bertenaga dan melayakkan diri ke peringkat akhir manakala dua lagi pelumba negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Fadhil Mohd Zonis terkandas di pusingan awal.
"Saya seorang pejuang. Walau dalam keadaan kesihatan macam ini, kalau tengok dari segi persembahan, saya masih lagi okey. Sebab itu saya hendak ambil tanggungjawab ini...kita cakap mengenai tugas kepada negara, sebab itu saya masih mahu ambil tugas ini dan korbankan kesihatan saya.
Kalau ikutkan, saya memang hendak sertai acara pecut tapi John buat satu keputusan yang pada saya cukup matang untuk tarik diri dan beri ruang kepada saya untuk pulih sepenuhnya sebelum meneruskan persiapan menghadapi Sukan Asia pula," katanya di Velodrom Anna Meares di sini.
Pada perlumbaan hari ini, Mohd Azizulhasni sekadar menamatkan perlumbaan di tempat keenam. Pingat emas dimenangi pelumba tuan rumah Matt Glaetzer, diikuti pingat perak dimenangi pelumba dari Wales, Oliva Lewis manakala Edward Dawkins dari New Zealand meraih gangsa.
Kekecewaan jelas terlihat pada wajah pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu yang gagal mempertahankan pingat gangsa yang dimenanginya pada edisi 2014 di Glasgow, Scotland sekali gus gagal memenuhi hasrat menghadiahkan pingat kemenangan sempena ulangtahun kelahiran jurulatihnya itu.
Pelumba yang terkenal dengan gelaran 'The Pocket Rocketman' bermula dengan baik pada pusingan pertama apabila mengungguli saringan pertama untuk mara ke pusingan kedua sebelum layak ke pentas akhir acara keirin lelaki yang juga acara kegemarannya.
"Agak sukar sebab tidak sempat pulih kerana masa antara acara separuh akhir ke akhir itu hanya ada 15 minit berbanding ketika pusingan pertama dan kedua, saya ada lebih kurang satu setengah jam. Saya ke garisan permulaan itu hanya ada 60 hingga 70 peratus, macam nyawa-nyawa ikan saja.
Secara taktikalnya, saya sudah buat yang terbaik cuma bila ada serangan balas, saya tidak boleh hendak lakukan apa-apa lagi sebab saya dah tiada apa (tenaga) lagi dan dah longlai. Selepas tamat perlumbaan, saya rasa dada macam hendak pecah, semput dan terbaring. Sebab itu saya turun ke bawah untuk dapatkan oksigen dan kemudian baharu saya boleh tenang," katanya.
Ditanya sama ada ini adalah temasya Sukan Komanwel terakhirnya, Mohd Azizulhasni menafikannya malah beliau menegaskan akan menyertai temasya seterusnya di Birmingham pada 2022.
"Saya tidak fikir ini adalah Komanwel terakhir saya," tegasnya.
-- BERNAMA