Saya sudah kembali ke tahap terbaik - Rafael Nadal

Astro Arena
April 3, 2017 13:00 MYT
Walaupun Nadal masih belum menjulang sebarang gelaran musim ini, dia memiliki rekod kemenangan [19-5] yang memberangsangkan. - AP
RAFAEL NADAL percaya dia sudah kembali untuk menjuarai gelaran selepas tewas di tangan Roger Federer dalam aksi final Terbuka Miami.
Pemain tenis dari Sepanyol itu mara ke final buat kali ketiga sepanjang musim 2017, namun tewas ketiga-tiganya, termasuk tumpas kepada Federer 6-3, 6-4, awal pagi tadi.
Nadal turut ditewaskan oleh musuh ketat dari Switzerland itu dalam final Terbuka Australia manakala terpaksa akur dengan kebolehan Sam Querrey di Acapulco.
Pemenang Grand Slam 14 kali itu berasakan dia sudah kembali ke tahap terbaik menjelang kejohanan kegemarannya -- Roland Garros.
"Saya berpendapat saya sudah menghampiri tahap yang saya ingini," kata Nadal.
"Saya berada di tahap tertinggi tenis dan percaya mampu memenangi gelaran dalam kejohanan akan datang. Saya sudah beraksi dalam tiga final tahun dan hari ini saya tewas kepada pemain yang hanya tewas dalam satu perlawanan."
Walaupun Nadal masih belum menjulang sebarang gelaran musim ini, dia memiliki rekod kemenangan [19-5] yang memberangsangkan.
Pemain berusia 30 tahun itu berkata dia mampu menjadi pemain pilihan beraksi di gelanggang tanah liat.
"Saya akan terus berjuang selagi saya mampu. Saya berharap dapat meraih keputusan positif di Monte Carlo.
"Sasaran saya adalah untuk kembali cemerlang dan memastikan bebas daripada sebarang kecederaan sehingga penghujung musim ini."
#pemain sepanyol #Rafael Nadal #Roger Federer #tenis #terbuka miami
;