Saya sepatutnya jaring lebih gol, kata Watkins selepas belasah Liverpool
Astro Arena
Oktober 5, 2020 12:41 MYT
Oktober 5, 2020 12:41 MYT
OLLIE Watkins berasakan dia sepatutnya menjaringkan lebih daripada sekadar hatrik selepas Aston Villa melakukan kejutan dengan menewaskan Liverpool 7-2 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Villa Park awal pagi tadi.
Villa menandatangani Watkins daripada Brentford dengan rekod perpindahan termahal kelab itu, £28 juta (RM150.7 juta), dan pemain berkenaan membuka akaun jaringannya dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan menghasilkan tiga gol ke atas juara bertahan itu.
John McGinn turut menemui sasaran untuk skuad kendalian Dean Smith itu ke bilik persalinan dengan kelebihan 4-1 dan Liverpool masih gagal bangkit selepas waktu rehat apabila Ross Barkley turut tersenarai sebagai penjaring manakala Jack Grealish menghasilkan jaringan berganda selepas gol kedua Mohamed Salah.
Percubaan Watkins diselamatkan Adrian dan menggegarkan palang gol selepas jaringan kedua Grealish, di mana strategi menggunakan garisan pertahanan yang terlalu tinggi dan perangkap ofsaid yang tidak menjadi mengundang padah buat Liverpool.
Ia merupakan kali pertama sejak 57 tahun lalu Liverpool melepaskan tujuh gol dan kali terakhir juara bertahan berkenaan dibolosi sebanyak itu adalah pada 1953.
"Sebelum perlawanan ini, saya tidak menjangka akan menjaringkan tiga gol tetapi selepas mendapatkan gol pertama, saya semakin yakin dan berkembang dalam perlawanan ini," kata Watkins, yang menjadi pemain ke-10 menjaringkan hatrik ke atas Liverpool dalam EPL dan yang pertama melakukannya sejak Dimitar Berbatov pada 2010, kepada Sky Sports.
"Saya memiliki peluang dan sepatutnya memperoleh lebih banyak gol pada penghujung permainan.
"Saya tidak tahu sama ada saya ofsaid atau tidak tetapi saya fikir apabila satu lawan satu dengan penjaga gol, saya perlu menjaringkannya.
"Anda sentiasa boleh memperbaikinya dan saya berharap dapat menjaringkannya.
"Kami dapat lihat bagaimana mereka bermain dan perancangannya adalah untuk meletakkan diri di belakang mereka dan melihat jika ia berkesan.
"Kami bermain dengan menarik hari ini tetapi saya tidak jangka keputusannya akan seperti itu.
"Ia lebih kepada menyekat laluan hantaran dan memastikan mereka tidak dapat melepasi kami.
"Kami sedar ia akan menjadi sukar tetapi kami bekerjasama dan ia berhasil malam ini.
"Hatrik yang sempurna, itulah diperkatakan rakan-rakan sewaktu rehat, jadi saya menerimanya," katanya.