'Saya sangat marah dan kecewa'
Sinar Harian
November 16, 2023 07:15 MYT
November 16, 2023 07:15 MYT
PENGENDALI Kyrgyzstan, Stefan Tarkovic mengakui kecewa dengan kekalahan 3-4 kepada Malaysia dalam aksi sulung Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Khamis.
Menurutnya, kesilapan di bahagian pertahanan sememangnya tidak boleh diterima yang menyaksikan Harimau Malaya bangkit untuk menewaskan pasukan di ranking ke-97 dunia itu.
"Saya sangat marah dan kecewa dengan keputusan ini. Kami menjaringkan tiga gol dan mendahului tetapi kesilapan pertahanan melepaskan empat gol.
"Kami mencipta banyak peluang tetapi gagal jaringkan gol. Kegagalan mendapat mata amat mengecewakan saya," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Dalam perlawanan itu, Harimau Malaya berada di hadapan menerusi gol Dion Cools pada minit keenam sebelum disamakan Zhyrgalbek Kairat pada minit ke-41.
Pasukan pelawat terus selesa di hadapan menerusi gol Batyrkanov Ernist dan Merk Kai.
Gol sendiri daripada pertahanan Kyrgyzstan, Khristiian Brauzman pada minit ke-72 menyalakan harapan skuad negara sebelum Cools sekali lagi berjaya menjaringkan gol untuk mengikat perlawanan pada minit ke-77.
Faisal Halim muncul wira dengan jaringan kemenangan pada minit kecederaan penghujung perlawanan. - Sinar Harian