Kapten Manchester United, Wayne Rooney, bertegas dia belum menghampiri penghujung tempoh bermainnya menjelang musimnya yang ke-15 sebagai seorang pemain profesional.

Penyerang England berusia 30 tahun itu berdepan bekas kelabnya, Everton, dalam perlawanan penghargaan buatnya pada Rabu, tapi dia menyasarkan beberapa musim mendatang yang sarat dengan trofi berbanding menimbangkan persaraan.

Walaupun kejayaan memenangi Piala FA musim lalu adalah trofi pertama United sejak Alex Ferguson meninggalkan kelab itu pada 2013, Rooney berkata kemungkinan untuk terus meraih kegemilangan membuatnya mahu terus beraksi.

“Apabila anda bermain sebagai seorang kanak-kanak, anda tidak pun memikirkan kejayaan, sebaliknya anda hanya mahu bermain.

"Ia hanya apabila anda mula bermain secara profesional, anda mula sedar sasaran dan cita-cita anda – dan ia harus untuk memenangi trofi-trofi," ujarnya.

Tambah Rooney, dia telah melakukannya bersama Manchester United tapi mahu menang lebih daripada itu.

"Saya masih mempunyai beberapa tahun untuk beraksi. Harap-harap saya masih mampu melakukan itu dan masih berada di sini selepas 20 musim, bercakap mengenai lebih banyak trofi yang kami telah menangi.

“Masa berlalu dengan pantas. Saya menikmatinya, detik-detik gembira mahupun duka, jadi diharapkan musim ke-15 akan memberikan kejayaan.

Menurutnya, bola sepak kini sudah berubah, dan pemain harus menjaga diri sendiri dan memastikan diri cergas untuk bermain.

"Saya mahu terus melakukan itu dan terus beraksi," ujarnya.

Rooney menjaringkan dua gol dalam penampilan sulungnya pada pra-musim ini dalam kemenangan 5-2 ke atas Galatasaray, Sabtu lalu, dan pertemuan dengan Everton di Old Trafford adalah persiapan terakhir United sebelum berdepan Leicester City dalam perlawanan Perisai Komuniti.