'Saya mahu tumbuk diri sendiri kerana gagal dapatkan Sadio Mane di Dortmund'

Astro Arena
November 19, 2016 14:53 MYT
Asalnya, Klopp bercadang untuk membawa Mane (gambar) yang ketika itu beraksi di Red Bull Salzburg, ke Bundesliga pada tahun 2014. - AFP/Fail
PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp, mengakui mahu menumbuk dirinya sendiri kerana gagal mendapatkan khidmat Sadio Mane ketika dia mengendalikan Borussia Dortmund, sekaligus menjadi punca dia mudah membuat keputusan untuk membawa pemain itu ke Anfield.
Klopp bercadang untuk membawa Mane – yang ketika itu beraksi di Red Bull Salzburg – ke Bundesliga pada tahun 2014.
Namun, Klopp memastikan Mane tidak terlepas apabila membelanjakan GBP34 juta untuk mendapatkan pemain itu.
Setakat ini, Mane telah menyumbang enam gol dan dua bantuan jaringan, sekaligus membantu The Reds melonjak ke persada Liga Perdana Inggeris.
"Saya gagal membawanya ke Dortmund, jadi ia perkara mudah apabila saya tiba di Anfield," jelas Klopp.
"Kami berbincang. Saya rasa semua pihak di Dortmund tahu kami telah berjumpa tetapi kami gagal mencapai kata sepakat.
"Jadi, apabila peluang itu tiba di Liverpool, saya terus membuat keputusan untuk membawa masuk pemain itu.
"Apabila Michael Edwards (Pengarah Teknikal Liverpool) memberitahu saya bahawa kami berpeluang melakukannya, saya tidak berfikir panjang."
Mane bakal kembali ke St. Mary pada Sabtu dalam misi memastikan Liverpool meneruskan misi 12 perlawanan tanpa kalah.
#jurgen klopp #Liverpool #Sadio Mane
;