Saya mahu Pogba jaringkan penalti - Lukaku
Astro Arena
Mac 3, 2019 09:29 MYT
Mac 3, 2019 09:29 MYT
MANCHESTER UNITED 3 SOUTHAMPTON 2
Romelu Lukaku berkata dia tidak pernah berniat untuk mengambil sepakan penalti bagi melengkapkan hatrik ketika berdepan Southampton selepas Paul Pogba gagal melunaskan peluangnya.
Dua jaringan Lukaku memastikan kemenangan 3-2 United di Old Trafford semalam, dengan skuad bimbingan Ralph Hasenhuttl itu meledak dua gol menerusi Yan Valery dan James Ward-Prowse.
Tetapi Marcus Rashford dijatuhkan oleh Stuart Armstrong dalam masa tambahan dan ia tidak terlintas dalam fikiran Lukaku untuk cuba mendapatkan bola daripada rakan sepasukannya, Pogba.
Angus Gunn menepis keluar penalti Pogba, dengan pemain skuad kebangsaan Perancis itu gagal menyempurnakan sepakan penalti buat kali ketiga dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
"Saya seorang penyerang dan saya mahu Pogba menjaringkan penalti itu," kata Lukaku.
"Dia berada dalam prestasi terbaik dan menjadi pemain yang penting buat kami dan akan bangkit selepas ini.
"Saya memberikan tumpuan untuk menang dan membantu rakan sepasukan. Pengurus (Ole Gunnar Solskjaer) memberikan saya satu lagi lagi peluang hari ini.
"Kami perlu melihat perlawanan demi perlawanan dan berusaha dalam sesi latihan. Kami sudah bersedia menghadapi cabaran," tambahnya.
Skuad bimbingan Solskjaer itu masih belum tewas dalam saingan domestik sejak mengambil alih tugas Jose Mourinho, dengan United kini memintas Arsenal ke tangga keempat liga.
"Kami menyedari perlu menang dan berjaya melakukannya," kata Lukaku. "Ia bukan permainan terbaik kami tetapi kami perlu berpuas hati dengan tiga mata.
"Kami telah menghasilkan banyak peluang dan berjaya memenangi perlawanan ini."
#EPL
#hatrik
#Jose Mourinho
#Liga Perdana Inggeris
#Manchester United
#Ole Gunnar Solskjaer
#Paul Pogba
#sepakan penalti
#Southampton