Saya mahu jadi 'the first Jojo', bukan 'the next Rodtang' - Johan

Haider Yutim
Disember 14, 2023 09:10 MYT
Johan berkata, dia tidak mahu diingati sebagai 'Rodtang seterusnya' (the next Rodtang), sebaliknya mahu menjadi 'Jojo yang pertama'. - Foto Instagram/Muhammad Johan Ghazali
KUALA LUMPUR: Selepas mencatatnya kemenangan 'knockout 36 saat' ke atas Edgar Tabares, Sabtu lalu, Johan 'Jojo' Ghazali kini mendapati dirinya semakin dibandingkan dengan jaguh Muay Thai terkenal dari Thailand, Rodtang Jitmuangon.
Meskipun berbesar hati dengan perbandingan tersebut, petarung sensasi muda negara itu berkata, dia tidak mahu diingati sebagai 'Rodtang seterusnya' (the next Rodtang), sebaliknya mahu menjadi 'Jojo yang pertama'.
"Pada mulanya memang 'cool', orang panggil saya ‘Rodtang Melayu.’ 'Cool' bila disebut setaraf dengan salah seorang idola saya.
“Tetapi saya tidak mahu diingati sebagai Rodtang seterusnya... saya mahu diingati sebagai ‘Jojo yang pertama', Johan Ghazali yang pertama.
"Jadi, saya bersyukur. Saya berbesar hati... bukan (bermaksud) berada pada tahap yang sama dengannya (Rodtang), tetapi disebut dengannya. Tetapi ya, saya mahu menjadi diri saya sendiri," katanya seperti dipetik di laman onefc.com.
Walaupun ramai peminat mahu menyaksikan pertarungannya dengan 'The Iron Man' itu, namun Johan mengakui dia tidak tergesa-gesa untuk bertarung dengan Juara Dunia ONE Flyweight Muay Thai tersebut.
Malah, petarung yang baru berusia 17 tahun itu memilih untuk terus meraih kemenangan menentang lawan-lawan lain yang sama mencabar.
"Sudah tentu, dalam masa beberapa tahun, siapa tahu? Saya mempunyai matlamat untuk bertarung dengan sesiapa dalam masa dua hingga tiga tahun akan datang, tetapi saya akan bergerak secara perlahan-lahan dan naik ke ranking. Saya tidak mahu terlalu cepat.
"Jadi ya, sesiapa sahaja boleh berada dalam senarai saya. Sesiapa yang menghiburkan, sesiapa yang kecoh, sudah tentu saya mahu lawan mereka," katanya.
Begitupun, Johan berkata dia mahu menghabiskan persekolahannya terlebih dahulu.
“Kalau ikutkan saya, minggu depan pun saya nak lawan. Tetapi saya perlu pulang. Saya perlu mendapatkan lesen memandu saya. Saya kena habiskan sekolah terlebih dahulu.
"Saya akan menamatkan persekolahan pada bulan Februari, jadi mungkin Mac (baru boleh lawan), saya tidak tahu.
"Apabila saya tamat sekolah nanti, saya akan kembali (bertarung) secepat mungkin," kata Johan sambil menambah bahawa dia terbuka untuk bertarung dengan mana-mana 'striker' flyweight yang terbaik.
Dia turut memetik nama petarung veteran Jepun, Taiki Naito, dan juga Dedduanglek Tded99 dari Thailand, yang masing-masing berada di kedudukan ketiga dan keempat dalam ranking flyweight Muay Thai di ONE Championship.
Sebagai rekod, Johan yang mula beraksi di ONE Championship sejak Februari lalu, belum pernah mengalami kekalahan dalam kesemua lima pertarungannya.
Petarung yang mewakili Rentap Muay Thai Gym itu berjaya meraih kontrak enam angka di organisasi itu dengan rekod tanpa kalahnya 4-0 dalam acara siri ONE Friday Fights.
Sungguhpun masih muda, Johan dilihat sebagai bintang yang meningkat naik dalam sukan pertempuran tahun ini.
Bakatnya semakin disedari terutama selepas kejayaan menumpaskan Tabares, yang merupakan juara Muay Thai Antarabangsa WBC, dalam penampilan sulung aksi Primetime US, ONE Championship pada Sabtu lalu.
#Johan Ghazali #Muay Thai #Rodtang Jitmuangon #ONE Championship
;