'Saya mahu bawa ibu bapa tunai umrah' - Mohamad Ridzuan
Astro Arena
Januari 29, 2016 15:14 MYT
Januari 29, 2016 15:14 MYT
Pelari pecut negara, Mohamad Ridzuan Puzi berhasrat membawa ibu bapa menunaikan umrah selepas muncul antara penerima tertinggi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) sempena Sukan Para ASEAN Singapura dengan RM72,000.
Ridzuan dianggap sensasi olahraga paralimpik negara selepas kejayaan besar tahun lalu dan dia merangkul RM32,000 hasil daripada dua pingat emas Sukan Para ASEAN menerusi acara 100m dan 200m kategori T36.
Pelari kelahiran Perlis itu turut meraih RM40,000 menerusi kejayaannya meraih emas sempena Kejohanan Olahraga Paralimpik Dunia menjadikan jumlah keseluruhan RM72,000.
"Saya sudah berniat membawa ibu bapa menunaikan umrah. Saya, ibu saya dan juga ayah saya. Saya bersyukur dapat menggembiarakan mereka," kata Ridzuan.
Sementara itu, Felixia Mikat muncul penerima wanita tertinggi Sukan Para ASEAN dengan RM40,000 hasil menuai emas dalam acara 100m, 200m dan 400m kategori T13 dan dia tidak mempunyai perancangan khas kerana baru berusia 16 tahun.
Kontinjen paralimpik negara membawa pulang 52 emas, 58 perak dan 37 gangsa dari Singapura sekali gus melepasi sasaran 50 emas.
Selain Ridzuan dan Felixia, turut menerima habuan SHAKAM ialah Abdul Latif Romly dan Krishna Kumar.