'Saya kena kuat lawan kanser' - Khalid Ali
Sinar Harian
April 21, 2023 09:30 MYT
April 21, 2023 09:30 MYT
LEGENDA bola sepak negara, Khalid Ali mahu meneruskan kehidupannya dengan cara baharu yang lebih bermakna setelah disahkan menghidap kanser paru-paru pada awal Ramadan lalu.
Bekas pemain kebangsaan itu menerima ujian daripada Allah dengan reda dan mahu menjalani rutin harian seperti biasa tanpa dibelenggu kebimbangan memikirkan tentang penyakit yang dihidapi.
Malahan, kata Khalid yang pernah mencipta nama bersama Selangor, era kemasyhuran ketika bergelar pemain sudah berlalu, sebaliknya, beliau mahu buka 'buku baharu' dalam hidupnya.
“Bagi saya, enjoy your life... baki hidup mungkin tak lama, lima atau 10 tahun. Tolak tepi rasa risau... fokus your future. Itu yang hanya saya fikirkan sekarang.
“Perkara lain semua sudah buang, no more. Apa sahaja pencapaian lalu, semua sudah tiada... sudah berlalu. Saya mahu mulakan hidup baharu dengan gembira,” katanya ketika ditemui Sukan Sinar di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Khalid yang beraksi di posisi tengah merupakan bekas pemain Harimau Malaya pada era 1970-an yang mana antara pencapaian terbaiknya membantu Malaysia layak ke Sukan Olimpik 1980 di Moscow, Rusia.
Bercerita lanjut penyakit yang dihidapinya, Khalid mengakui mendapat semangat baharu daripada rakan-rakan yang senasib dengannya yang menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di Petaling Jaya.
“Saya ada sertai satu kumpulan pesakit-pesakit kanser di hospital (PPUM). Dalam kumpulan itu, kami bersembang dan berbual... pesan mereka enjoy your life,” ujarnya.
Mengulas mengenai detik dimaklumkan mengenai penyakit kanser, Khalid berkata, beliau mengetahuinya pada awal Ramadan lalu setelah dimaklumkan oleh pegawai perubatan di PPUM.
“Apabila doktor buat CT scan ada nampak ketumbuhan besar dalam 6.9 sentimeter (cm), namun ketika itu doktor belum boleh mengesahkan lagi sama ada itu kanser atau tidak.
“Apabila buat endoskopi, baru nampak jelas saya ada kanser, namun belum tahu tahap berapa. Selepas buat pet scan, baru nampak jelas... kanser itu pada tahap 3A.
“Ia sudah merebak tak boleh buat pembedahan hanya rawatan kemoterapi. Apa yang doktor nasihat, penyakit ini tak boleh baik, tapi boleh dirawat,” ujarnya yang mencecah usia 66 tahun.
Sekalipun mengakui berasa sedih apabila mula-mula disahkan menghidap kanser, Khalid tetap menerima berita itu dengan reda kerana menganggap ia merupakan ketentuan dan takdir Allah.
“Insya-Allah dengan doa semua, rakan-rakan dan peminat, saya mampu melawannya, saya kena kuat. Saya akan menjalani kemoterapi untuk enam pusingan dan tengok perkembangannya selepas itu,” jelasnya. - SInar Harian