"Saya harap tiada yang kecewa dengan keputusan ini" - Azizulhasni Awang

Madiha Abdullah
Ogos 8, 2021 13:14 MYT
Azizulhasni Awang mengakui perjalanannya tidak mudah, apatah lagi terpaksa meninggalkan keluarga di tanah air khususnya ayahnya yang diserang angin ahmar semasa beliau berlepas ke Tokyo. - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Segala-galanya sudah diberikan, hanya rezeki untuk dikalungkan pingat emas Olimpik sahaja yang belum hadir.
Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang, mengakui perjalanannya tidak mudah, apatah lagi terpaksa meninggalkan keluarga di tanah air.
Lebih sayu apabila dalam keadaan situasi tidak menentu akibat pandemik, bapanya pula jatuh sakit namun tanggungjawab terhadap negara tetap perlu didahulukan.
"Saya memang sasar untuk menang emas. Semalam saya tak lena tidur memikirkan hari ini.
"Masa perlumbaan, saya ingat muka anak-anak, isteri dan keluarga. Buat yang terbaik untuk mereka.
"Masa saya terbang ke Tokyo saya dapat tahu ayah saya masuk hospital kerana mild stroke (angin ahmar). Tapi adik-beradik saya mahu saya fokus Olimpik. Saya tiada pilihan, saya fikirkan tanggungjawab saya kepada negara.
"Ada masa memang kena terima, bukan semua kita boleh kawal. Saya sudah beri segala-galanya dan saya harap semua tidak kecewa dengan keputusan ini," katanya yang tidak dapat menahan air mata semasa ditemubual wartawan Malaysia.
Olimpik Tokyo 2020 | Azizulhasni Awang hadiahkan perak buat negara
BACA: Tokyo 2020: Azizulhasni raih kilauan perak untuk Malaysia
Selain pingat perak yang dibawa pulang, Azizulhasni juga menerima khabar gembira bakal menimang cahaya mata ketiga, sekali gus mengubat kesedihannya.
Biarpun sudah mengerah seluruh tenaga, namun Azizulhasni terpaksa akur tewas kepada pemenang pingat emas Olimpik tujuh kali, Jason Kenny dari Great Britain, dalam acara kegemarannya, Keirin.
Gangsa pula menjadi milik juara dunia dari Belanda, Harrie Lavreysen.
Dalam edisi Olimpik sebelum ini, Azizulhasni memenangi pingat perak juga dalam acara yang sama.
Azizulhasni juga belum memutuskan untuk menyertai Olimpik Paris 2024 dan mahu berehat terlebih dulu sebelum membuat sebarang keputusan.
#Azizulhasni Awang #Olimpik #Tokyo #Berbasikal Trek #Azizulhasni #pingat perak #acara Keirin #Olimpik Tokyo 2020
;