'Saya dipaksa belajar seni bela diri, dan kini saya bersyukur'
Haider Yutim
Disember 12, 2018 19:53 MYT
Disember 12, 2018 19:53 MYT
ATLET ONE Championship Chan Rothana, mempunyai reputasi mampu menentang segala kemungkinan, sama ada sebagai artis profesional seni mempertahankan diri mahupun sebagai seseorang yang dibesarkan dalam persekitaran mencabar.
Dilahirkan di dalam sebuah kem pelarian di Thailand, Rothana sekeluarga kembali ke Kemboja sebaik saja tamat perang saudara. Ibu dan ayah beliau kemudian membeli tanah di Banteay Meanchey dan mereka bersama-sama membuka dan memulakan lembaran baharu.
Ayah beliau, Lok Kru Chan Bunthoeun, adalah jaguh seni mempertahankan diri purba Khmer yang dikenali sebagai Yutakhun Khom.
Selepas ayahnya membuka gim, pemuda Kemboja itu mencuba nasib dan berhenti sekolah bagi membantu menyara keluarganya.
“Keluarga saya sangat miskin dan ayah terpaksa meminta saya berhenti bersekolah dan membantunya di gim. Saya berlatih, dan kemudian saya mula mengajar pelajar lain pula. Kiranya, saya belajar dan pada masa yang sama turut mengajar,” katanya.
“Terlalu banyak rintangan yang kami hadapi dari mula. Pertama sekali, kami tidak mempunyai gim yang sempurna untuk berlatih, jadi kami terpaksa mencari dan meminta dari orang lain untuk berlatih di bangunan mereka. Keduanya, kami tidak mempunyai peralatan, jadi kami terpaksa mencari jalan dengan mencipta sesuatu. Waktu itu keadaan kami terlalu sengsara.
"Kemudian, gim itu semakin dikenali dan lebih ramai pelajar datang untuk mempelajari Yutakhun Khom, sehingga membolehkan keluarga kami keluar dari kemiskinan dan menyara hidup kami diri sendiri.
Perjalanan Rothana nyata sudah jauh, berbanding dahulu.
Sekarang pada tahun 2018, beliau merupakan antara atlet bertaraf dunia yang bertanding dalam organisasi seni mempertahankan diri terbesar dunia.
Beliau mewakili gimnya sendiri, Selapak dan turut melatih generasi baharu bintang handalan seni mempertahankan diri.
“Saya tidak pernah menyangka akan menjadi artis seni mempertahankan diri. Saya hanya berlatih untuk suka-suka,” jelas Rothana.
“Ayah terus memujuk saya untuk mempelajari dengan lebih dalam tinju Khmer kerana saya tidak mempunyai pendidikan.
“Sukan ini banyak membantu saya. Ia tidak memberikan saya segala-galanya, namun cukup untuk saya makan. Ramai yang mengenali dan menghormati saya, jadi saya tidak menyesal bila ayah memaksa saya untuk masuk ke bidang ini," katanya.
Rothana giat memperluaskan tradisi keluarganya dengan menggabungkan seni mempertahankan diri campuran dengan latar belakangnya dalam Yutakhun Khom dan Kun Khmer.
Pada usia 32, beliau mempunyai masa depan yang cerah untuk dirinya, keluarga serta sukan itu.
ONE Championship memainkan peranan penting dalam perkembangannya – bukan saja sebagai pesaing profesional, malah, sebagai wakil antarabangsa untuk Kemboja.
“Banyak manfaat yang saya perolehi sejak menyertai ONE Championship kerana ia adalah organisasi antarabangsa dan kita boleh berkongsi Kun Khmer dan juga seni mempertahkan diri kita dengan dunia,” jelasnya.
“Namun untuk saya, perkara paling penting adalah bertanya dengan diri sendiri, “Adakah saya layak untuk bertanding di sini? Apabila anda berada di dalam ONE, anda perlu membuktikan kepada dunia bahawa anda layak berada di sini.”
#Banteay Meanchey
#Chan Rothana
#Kemboja
#Khmer
#Kun Khmer
#Lok Kru Chan Bunthoeun
#ONE Championship
#seni mempertahankan diri
#Thailand