'Saya datang demi negara’ - Walaupun hambar, penyokong hadir sokong Harimau Malaya
Khalis Khadir
September 4, 2024 19:56 MYT
September 4, 2024 19:56 MYT
KUALA LUMPUR: Aksi Harimau Malaya menentang Filipina di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini dalam aksi pembukaan Pestabola Merdeka 2024 mungkin hilang ‘sengat’ selepas mereka kehilangan puluhan ribu ‘pemain ke-12’.
Tinjauan Astro AWANI mendapati, suasana di pekarangan gelanggang keramat itu lengang walaupun berbaki kurang sejam sebelum wisel sepak mula ditiupkan.
Kebiasaannya, ruang legar stadium ini cukup meriah apabila ia dibanjiri ‘ekor harimau sejati’ seawal tengah hari lagi, namun kali ini kehadiran mereka dianggarkan kurang daripada 3,000.
Mana tidaknya, banyak gerai yang sebelum ini ‘berderet’ dari LRT Bukit Jalil sehingga ke penghujung laluan, kali ini hanya tinggal ‘sisa baki’ sahaja.
Mengakui isu boikot mungkin menjadi punca utama ramai penyokong tidak hadir ke stadium, penyokong skuad kebangsaan, Radzief Kamarudin, 40, menganggap tindakan sedemikian adalah hak individu.
“Ramai orang kata puncanya kerana Ultras Boikot, penyokong boikot. Saya sebagai peminat memang terasa dengan apa yang berlaku tapi harus akui itu pilihan mereka.
“Bagi saya, sukan tetap sukan. Sukan untuk semua, jadi apa jua berlaku teruslah menyokong Harimau Malaya,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini, pada Rabu.
Berkongsi pandangan sama, Mohamad Amirul Abdullah, 28, yang tetap menaruh harapan agar Harimau Malaya terus menampilkan aksi cemerlang meskipun tiada sorakan gemuruh seperti kebiasaan.
“Walaupun tidak ramai penyokong hadir tapi saya yakin itu bukan penghalang untuk pemain tonjolkan aksi yang baik malam ini.
“Boikot dalam kalangan penyokong ini mungkin sebab mereka ‘merajuk’ setelah suara pemain ke-12 ini tidak diambil peduli,” ujarnya.
Seorang lagi penyokong, Nur Azima Dania Zamri, 23, berharap semangat Harimau Malaya tidak luntur kerana dia adalah bukti penyokong di luar Lembah Klang yang sanggup hadir demi negara.
“Saya datang dari Melaka, walaupun tahu ramai boikot tapi saya tetap datang stadium untuk tunjukkan semangat saya sebagai penyokong.
“Dari negeri demi negara, itu bukti sokongan saya kepada Harimau Malaya,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Stadium Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Posa Majais mengakui isu boikot mungkin menjadi faktor kutipan jualan tiket yang terjual kurang daripada 1,000 setakat Ahad lalu.
Ultras Malaya sebelum ini turut mengumumkan mereka memboikot Pestabola Merdeka selepas difahamkan tidak berpuas hati dengan situasi semasa bola sepak negara.
Kejohanan edisi kali ini disertai oleh empat pasukan iaitu Malaysia, Filipina, Lubnan dan juara bertahan, Tajikistan.
Untuk rekod, Harimau Malaya telah menjulang trofi Pestabola Merdeka sebanyak 10 kali sejak 1958, naib juara sebanyak 7 kali dan muncul sebagai juara bersama sebanyak 2 kali.