Saya bertanggungjawab, kata Klopp selepas tersingkir dalam Piala FA
Astro Arena
Januari 29, 2017 08:59 MYT
Januari 29, 2017 08:59 MYT
JUERGEN Klopp menyalahkan diri sendiri apabila Liverpool tersingkir dalam Piala FA selepas tewas di tangan Wolverhampton 1-2 di Anfield, malam tadi.
Wakil kelab Liga Kejuaraan itu mengejutkan Liverpool dalam pusingan keempat saingan itu hasil dua jaringan pada separuh masa pertama masing-masing menerusi Richard Stearman dan Andreas Weimann.
The Reds cuba bangkit di penghujung permainan menerusi jaringan Divock Origi, bagaimanapun, ia terlalu lewat untuk mengejar Wolves.
Klopp membuat sembilan perubahan terhadap kesebelasan utama yang tewas 0-1 kepada Southampton dalam separuh akhir Piala EFL pada pertengahan minggu lalu.
Jurulatih dari Jerman itu mengakui dia adalah orang yang bertanggungjawab terhadap kekalahan terbaru ini.
"Kami mempamerkan prestasi yang sangat buruk. Kami memulakan permainan dengan teruk dan tiada peningkatan," katanya.
"Tidak ada banyak perkara yang baik. Ia adalah sukar untuk menjelaskan kekalahan ini. Permulaan itu memberikan mereka keyakinan. Kami tidak bersedia. Kami memberikan bola kepada mereka dan membuat kesilapan yang membolehkan mereka mendahului.
"Kami cuba, tetapi tidak cukup baik dalam separuh masa pertama. Separuh kedua adalah lebih baik, tetapi tidak cukup.
"Saya bertanggungjawab, bukan pemain muda. Kami banyak belajar dalam permainan seperti ini, tetapi saya bertanggungjawab.
"Kami akan lihat sejauh mana ia memberi kesan kepada kami. Masalah kami adalah jelas, kami sendiri yang menjadi punca.
"Tetapi kami tidak harus lupa Wolves bermain amat baik. Mereka bertahan dengan baik dan melakukan serangan balas dengan baik. Tetapi kami tidak cukup baik."