'Saya berasa seperti kanak-kanak semula' - Naomi Osaka
Astro Arena
September 9, 2018 18:33 MYT
September 9, 2018 18:33 MYT
JUARA Terbuka AS, Naomi Osaka, sekali lagi mengalirkan air mata ketika membincangkan mengapa dia menangis pada penghujung kemenangan dramatiknya ke atas Serena Williams dalam final, pagi tadi.
Pemain berusia 20 tahun itu meraih kejayaan besar di Flushing Meadows, New York dengan mengalahkan Serena 6-2, 6-4 untuk tampil selaku juara perseorangan Grand Slam yang pertama dari Jepun.
Namun, prestasi mengagumkan daripadanya dibayangi insiden pertengkaran di antara Serena dan pengadil, Carlos Ramos, yang tercetus apabila jaguh Amerika Syarikat itu didakwa mendapat isyarat daripada jurulatihnya.
Ia menyebabkan Serena dikenakan denda satu game sambil dia meneruskan bantahannya kerana dihukum gara-gara menghempas raketnya.
Di tengah-tengah suasana bergemuruh di Stadium Arthur Ashe itu, Osaka mengekalkan ketenangannya untuk kesudahannya menang.
Dia jelas beremosi ketika upacara penyampaian trofi hingga memohon maaf kepada penonton yang datang untuk menyaksikan idolanya, Serena, menjulang trofi Grand Slamnya yang ke-24.
Ketika ditanya dalam sidang media mengapa dia memohon maaf kepada penonton, Osaka berlinangan air mata ketika menjawab: “Soalan anda membuat saya beremosi.”
Dia kemudian menyambung: “Saya tahu yang dia (Serena) benar-benar mahukan gelaran grand slam ke-24, bukankah? Semua orang tahu ini. Ia turut dimuatkan dalam iklan, ia ada di mana-mana.
“Ketika saya melangkah masuk ke gelanggang, saya berasa seperti orang lain. Saya bukan seorang peminat Serena, saya hanyalah seorang pemain tenis yang berhadapan seorang pemain lain.
“Tetapi kemudian apabila saya memeluknya di jaring (selepas berakhir perlawanan), saya berasa seperti seorang kanak-kanak semula.”
Osaka sudah kerap menyuarakan kekagumannya terhadap Serena sambil bapanya turut mengambil inspirasi daripada bagaimana bapa Serena, Richard, merangka perancangan untuk menukar dua anak perempuannya menjadi juara.
Mengambil kira semua itu, Osaka harus dimaafkan jika berasa marah kerana kejayaannya dibayangi oleh kontroversi Serena dan pengadil.
“Saya tidak tahu apa yang berlaku di atas gelanggang. Jadi, saya akan terus mengingati Serena yang saya sayangi.
“Ia tidak akan mengubah apa-apa. Dia benar-benar baik dengan saya ketika di jaring dan di atas podium. Saya tidak melihat apa-apa yang akan berubah,” katanya lagi.