Saya akan kembali ke gelanggang pada Januari 2019 - Chong Wei

Firdaus Alauddin
Disember 9, 2018 21:14 MYT
"Saya akan kembali selepas menjalani sesi rawatan pemulihan di Taiwan'' - Lee Chong Wei - Foto Firdaus Alauddin / Astro AWANI
Jaguh perseorangan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dijangka akan kembali beraksi di gelanggang pada Januari 2019.
Maklum Chong Wei, 36, ketika ini beliau masih menjalani rawatan pemulihan di Taiwan dan terpaksa akur dengan sebarang nasihat doktornya.
Beliau disahkan bebas daripada barah hidung pada Julai Lalu.
“Sepatutnya dua minggu lepas saya kembali semula beraksi di gelanggang.
“Tetapi saya tidak dapat kembali dalam bulan ini dan masa yang paling awal saya dapat kembali semula pada Januari tahun hadapan.
“Proses pemulihan saya berjalan dengan lancar dan apa yang paling penting selepas sesi rawatan pemulihan, makan dan rehat secukupnya harus dilakukan oleh saya,’’ katanya di sidang media selepas Cabaran Akhir Kemuncak ‘F&N 135th Anniversary Fiesta’ di IOI Mall, di sini pada Ahad.
Dalam pada itu, Chong Wei juga berkata aktiviti yang dilakukan buat masa ini ialah dengan membuat latihan ringan di rumah.
Pada masa sama, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu juga belum dapat mengesahkan penyertaannya dalam Kejohanan All England 2019 yang berlangsung pada Mac.
"Memang saya nak tapi buat masa sekarang saya tak boleh cakap 'yes' (ya). Tetapi apa yang penting saya ada kemahuan untuk turun beraksi," kata beliau.
Untuk rekod, kali terakhir Chong Wei beraksi di tahap kompetitif adalah pada saingan separuh akhir Terbuka Indonesia 2018 Julai lepas.
Sebelum itu, F&N telah mengadakan majlis pembaharuan kontrak Chong Wei sebagai duta minuman 100 Plus sehingga 2020.
#100 Plus #2019 #badminton #Chong Wei #Januari #kembali #Lee Chong Wei #Putrajaya #Taiwan
;