"Saya ada cadangan selesaikan kemelut BAM-Zii Jia" - Ahmad Faizal

Abd Razak Mohd Ali
Januari 23, 2022 17:00 MYT
Ahmad Faizal berharap agar rakyat Malaysia dapat bersama-sama berdoa agar kedua-dua belah pihak dapat mencari penyelesaian yang terbaik untuk negara. - Gambar fail
IPOH: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hari ini menegaskan beliau mempunyai beberapa cadangan untuk menyelesaikan konflik antara pemain perseorangan badminton negara, Lee Zii Jia dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Bagaimanapun, kata Ahmad Faizal, adalah tidak sesuai untuknya berkongsi cadangan itu sebelum mengadakan perjumpaan dengan kedua-dua belah pihak.
Menurutnya, perjumpaan itu akan diadakan secepat mungkin untuk mencari penyelesaian terbaik untuk kepentingan negara.
“Ada cadangan yang akan saya utarakan, yang pentingnya kita letakkan kepentingan sukan tersebut dan juga imej negara di mata dunia, perlu kita jaga dengan baik dan kita hendak mencari titik pertemuan demi kepentingan negara dan sukan badminton,” kata Ahmad Faizal.
“Tidak sesuai untuk saya kongsikan (dengan orang ramai) sebelum berbincang dengan pihak BAM dan Lee Zii Jia,” tambahnya.
BACA SEMUA BERHUBUNG KEMELUT LEE ZII JIA DAN BAM DI SINI
Beliau ditemui selepas merasmikan majlis penutup Seminar Pendigitalan Perniagaan anjuran Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) di sini, pada Ahad.
Ahmad Faizal berharap agar rakyat Malaysia dapat bersama-sama berdoa agar kedua-dua belah pihak dapat mencari penyelesaian yang terbaik untuk negara.
Pada Sabtu, bekas jurulatih Zii Jia, Datuk Misbun Sidek, berkata, masih belum terlambat kerana penggantungan dua tahun terhadap anak didiknya itu merupakan antara tindakan daripada BAM
Misbun berkata, beliau turut berharap Juara Seluruh England 2021 dan pemenang pingat emas Sukan SEA Manila 2019 itu dapat memikirkan semula tindakannya dan kembali kepada BAM jika mahu menjadi seorang pemain yang hebat.
#Ahmad Faizal Azumu #Lee Zii Jia #Persatuan Badminton Malaysia #Misbun Sidek
;