Satu penghormatan jadi rakyat Malaysia - Sergio Aguero
Astro Arena
September 17, 2022 09:15 MYT
September 17, 2022 09:15 MYT
PEMAIN import Sri Pahang, Sergio Aguero, mengesahkan bahawa pemain dari Argentina itu kini memiliki status warganegara Malaysia.
Ketika memaklumkan perkembangan itu di laman Instagram miliknya, Aguero menjelaskan dia sangat berbangga menjadi rakyat negara ini.
Malah pemain berusia 28 tahun itu juga berterima kasih kepada pemilik Sri Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah dan pengurusan kelab yang menyokongnya sepanjang proses mendapatkan status warganegara.
“Sejujurnya ia satu penghormatan untuk saya menjadi rakyat Malaysia. Saya di sini kerana mendapat sokongan orang di sekeliling, tanpa mereka saya tidak akan berada di tempat saya berada.
“Kuantan merupakan tempat paling istimewa untuk saya serta keluarga, malah saya berhasrat tinggal lama di sini. Saya jatuh hati dengan makanan, masyarakat yang sangat baik dan paling penting saya menemui ketenangan bersama keluarga.
“Tiada perkataan bagi menggambarkan betapa gembiranya saya dan tidak sabar untuk menyarung jersi emas dan biru dalam Piala Malaysia,” kata Aguero di laman sosialnya pada Jumaat.