Satu lagi penaja Chelsea gantung tajaan
Sinar Harian
Mac 13, 2022 07:26 MYT
Mac 13, 2022 07:26 MYT
KONGLOMERAT Korea Selatan, Hyundai mengumumkan penangguhan penajaan terhadap kelab sensasi Liga Perdana Inggeris (EPL) Chelsea sehingga ke suatu masa yang akan dimaklumkan berikutan sekatan dan pembekuan aset dikenakan kerajaan Britain ke atas pemilik The Blues, Roman Abramovich.
"Hyundai telah menjadi antara satu rakan kongsi berpengaruh dalam bola sepak selama ini dan syarikat sentiasa menyokong sukan ini untuk menjadi instrumen pengukuhan kekuatan penyebaran nilai-nilai kebaikan.
"Melalui perkongsian kami dengan Chelsea FC, kami bangga menjadi penyokong kepada para pemain, peminat dan komuniti bola sepak akar umbi.
"Bagaimanapun, dalam keadaan semasa, syarikat telah mengambil keputusan menggantung aktiviti pemasaran dan komunikasi dengan Chelsea FC sehingga diberitahu suatu masa," kata kenyataan daripada Hyundai.
Untuk rekod syarikat permotoran sensasi Korea Selatan itu telah menjadi rakan kongsi automotif global rasmi Chelsea sejak 2018 dengan nama entiti tersebut tertera pada lengan jersi kelab berpusat di London.
Abramovich sebelum ini dikenakan sekatan oleh kerajaan Britain yang bertindak membekukan aset milik jutawan itu yang didakwa menpunyai kaitan dengan presiden Rusia, Vladimir Putin dalam krisis pencerobohan ke atas Ukraine bulan lalu.
Jelas kenyataan tersebut lagi, konglomerat itu juga yakin sukan merupakan pentas menghubungkan dan menyatukan orang ramai sebagai jenama pelancongan global.
"Ini adalah nilai yang dikongsi Chelsea FC, sebuah institusi yang kini berusia 117 tahun dengan tradisi yang sangat penting kepada peminat dan komunitinya, di peringkat tempatan dan global, dan itulah sebabnya kami memutuskan bekerjasama dengan kelab London itu pada tahun lalu.
"Kami menantikan peralihan pemilikan secepat mungkin dan mahu menyokong kelab dalam proses ini," katanya.
Untuk rekod, Nike kekal komited dengan kerjasamanya bersama The Blues, biarpun rangkai telco Three mengumumkan penangguhan perjanjian tajaannya dengan juara Piala Dunia Kelab dan Eropah tersebut.
Biarpun begitu penaja kit latihan Chelsea, Trivago masih berpendirian kekal di Stamford Bridge sambil berharap akan wujud perubahan pemilikan segera selepas Abramovich mengumumkan penjualan entiti itu baru-baru ini.
Artikel asal di Sinar Harian