Sathit: Bukan salah Khairul Fahmi

Astro Arena
Januari 21, 2018 20:05 MYT
Kesilapan Khairul Fahmi yang tertampan bola hantaran silang Sila Srikampang ke gawang sendiri pada hujung babak kedua menafikan skuad The Red Warrior untuk menjulang kejuaraan. - Instagram/@fahmiapexs
PENGENDALI Kelantan, Sathit Bensoh, enggan menyalahkan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat, yang membenarkan lawan meraih gol keempat, sekaligus menyebabkan pasukannya tewas 3-4 di tangan Ratchaburi dalam saingan Piala Super Sportsfix di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.
Kelantan yang ketinggalan 1-3 di awal perlawanan, berjaya bangkit untuk menyamakan kedudukan 3-3.
Bagaimanapun, kesilapan Khairul Fahmi yang tertampan bola hantaran silang Sila Srikampang ke gawang sendiri pada hujung babak kedua menafikan skuad The Red Warrior untuk menjulang kejuaraan.
Tanpa mahu menuding jari kepada sesiapa, Sathit menyifatkan pasukannya masih dalam proses untuk membentuk keserasian antara pemain apabila membariskan ramai nama baru dalam skuad.
"Saya tidak perlu bercakap mengenai kesilapan yang dilakukan oleh seseorang pemain kerana bagi saya, hari ini seluruh pasukan telah melakukan beberapa kesalahan besar," ujarnya.
Sementara itu, ketua jurulatih Ratchaburi, Christian Ziege, menyifatkan kemenangan pasukannya adalah kerana persiapan lebih rapi telah dilakukan untuk berdepan Kelantan sambil mengakui lawan memiliki kekuatan tersendiri.
"Kelantan menunjukkan aksi hebat, lebih-lebih lagi apabila bangkit untuk mengikat kedudukan 3-3 tetapi saya berbangga dengan anak-anak buah saya yang mempamerkan kehebatan untuk mengekang lawan.
"Kami mengawal perlawanan tetapi bagi saya, ia masih belum cukup," kata Ziege.
#bola sepak #Christian Ziege #Khairul Fahmi Che Mat #Piala Super Sportsfix #Ratchaburi #Sathit Bensoh #Stadium Nasional Bukit Jalil
;