Sathianathan puji usaha MFL tingkat kualiti jurulatih tempatan

Bernama
Oktober 4, 2019 18:31 MYT
Sathianathan menyifatkan penambahbaikan itu turut akan mempengaruhi corak persembahan pasukan, sekiranya ia dimanfaatkan sepenuhnya oleh setiap pasukan bertanding. - Bernama
Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan memuji pendekatan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), yang serius untuk memajukan kualiti jurulatih-jurulatih tempatan dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M).
Dalam kenyataan MFL hari ini, pengendali pasukan Selangor itu mengakui langkah terbaharu MFL yang menetapkan hanya jurulatih memiliki kelayakan kejurulatihan Lesen B dan ke atas, layak didaftarkan memegang jawatan di dalam pasukan, mampu meningkatkan kualiti jurulatih.
Sathianathan menyifatkan penambahbaikan itu turut akan mempengaruhi corak persembahan pasukan, sekiranya ia dimanfaatkan sepenuhnya oleh setiap pasukan bertanding.
"Ini membantu meningkatkan kualiti jurulatih tempatan kita, tambahan pula semua ketua jurulatih Liga Super bermula tahun 2020 telah diwajibkan memiliki Lesen Pro Diploma Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan bagi Liga Premier 2022, ketua uurulatih turut wajib memiliki Lesen Pro Diploma.
"Jadi, syarat minima Lesen B untuk pembantu jurulatih penjaga gol, adalah antara salah satu pendekatan MFL yang harus dipuji, dalam usaha meningkatkan lagi kualiti jurulatih tempatan dan corak permainan kita," katanya dalam kenyataan itu.
Perkembangan positif terhadap dunia kejurulatihan tempatan itu diputuskan, ketika Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL yang dipengerusikan Presidennya Datuk Hamidin Mohd Amin, Rabu lepas.
Pada mesyuarat itu, MFL turut memutuskan untuk membuka ruang kepada pasukan yang ingin mendaftar pembantu jurulatih penjaga gol dalam pasukan, dengan menepati syarat kelayakan seperti jurulatih penjaga gol iaitu Lesen B dan Sijil Kejurulatihan Penjaga Gol Tahap 2.
Dalam perkembangan sama, Sathianathan turut menyambut baik langkah memperketatkan syarat berhubung ahli fisioterapi perlu berdaftar dengan Persatuan Fisioterapi Malaysia (MPA) sebelum dibenarkan menyertai mana-mana pasukan Liga-M.
"Sudah pasti pengiktirafan itu sangat penting dan meningkatkan lagi sektor fisioterapi dan dengan adanya sijil MPA, fisioterapi layak didaftarkan bersama pasukan.
"Sekarang semua dapat melihat betapa seriusnya MFL untuk mengangkat kualiti bukan sahaja daripada aspek pembangunan akar umbi tetapi secara menyeluruh," ujarnya.
-- BERNAMA
#B Sathianathan #jurulatih #Liga Bola Sepak Malaysia #Liga Malaysia #Liga-M #MFL #Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia #PJBM
;