Sathianathan enggan lepas khidmat Syahmi

Astro Arena
Februari 5, 2019 06:15 MYT
Kegusaran Sathianathan juga menjurus kepada faktor kecergasan Syahmi yang baru sahaja pulih daripada kecederaan hamstring. - Astro ARENA
KETUA jurulatih Selangor, B. Sathianathan, tidak mahu melepaskan pemain sayap, Syahmi Safari, menyertai kem latihan pusat skuad B-22 negara kerana khidmatnya amat diperlukan ketika saingan Liga Super sedang berlangsung.
Syahmi adalah antara 26 nama yang tersenarai untuk menjalani latihan pusat kendalian Datuk Ong Kim Swee menjelang Kejohanan Piala AFF B-22 di Kemboja, 17 Februari ini.
Sathianathan berada dalam dilema kerana ia bakal memberi kesan buat skuad Selangor yang terpaksa menempuhi dua perlawanan menentang PKNS dan Pahang jika Syahmi dilepaskan.
"Syahmi memiliki peranan yang penting buat Selangor. Daripada pandangan saya, kami tidak dapat melepaskan khidmatnya," katanya.
Kegusaran Sathianathan juga menjurus kepada faktor kecergasan Syahmi yang baru sahaja pulih daripada kecederaan hamstring.
Bagaimanapun, jurulatih itu menyerahkan kepada pihak pengurusan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) untuk mengadakan perbincangan dengan wakil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi mengesahkan status Syahmi.
"Dalam situasi sekarang, saya serahkan kepada FAS dan akan mengikut keputusan yang diberikan. Saya baru sahaja menyertai skuad utama dalam tempoh seminggu dan perlu meneruskan latihan untuk berada pada tahap terbaik," kata Syahmi.
#B Sathianathan #B-22 #bola sepak #hamstring #jurulatih #kecederaan #kecergasan #Kemboja #latihan pusat #Liga Super #Ong Kim Swee #pemain sayap #Piala AFF #Selangor #skuad B-22 #Syahmi Safari
;