SASC: Speedy Tigers bangkit tewaskan Kanada 6-2

Bernama
Mei 5, 2024 23:30 MYT
Pemain hoki Malaysia Saari Fitri meraikan gol jaringannya ketika bertemu pasukan Kanada pada saingan Piala Sultan Azlan Shah ke-30 di Stadium Hoki Azlan Shah malam ini. - Foto BERNAMA
IPOH: Pasukan hoki lelaki negara bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk menewaskan Kanada 6-2 pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-30 di sini, malam ini.
Skuad Speedy Tigers yang berdepan kekalahan 4-5 dengan Pakistan semalam, dikejutkan pada minit ke-12 oleh gol Devohn Noronha-Teixeira di Stadium Hoki Azlan Shah di sini, namun segera menyamakan kedudukan menerusi pukulan reverse stick Mohamad Fitri Saari seminit kemudian.
Malaysia selaku pasukan ke-13 dunia, kemudian mengubah permainan menerusi jaringan daripada Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal pada minit ke-14 dan Azimuddin Syakir Kamaruddin, yang menolak bola ke dalam jaring pada minit ke-19 untuk mendahului 3-1 pada separuh masa pertama.
Malaysia kemudian menambah dua gol lagi melalui Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi pada minit ke-31 namun pasukan ke-19 dunia Kanada merapatkan jurang menerusi cubaan Avjot Buttar's pada minit ke-42.
Anak buah Sarjit Singh meneruskan pesta gol menerusi pukulan sudut penalti Syed Syafiq Syed Cholan pada minit ke-48 dan pukulan reverse stick daripada Faizal Saari seminit kemudian. Faizal turut meraih gelaran pemain terbaik perlawanan atau 'Man of the Match'.
#hoki #Speedy Tigers #Piala Sultan Azlan Shah #Kanada
;