Sasaran Sukan SEA 2023 diumum 30 April
Bernama
April 11, 2023 05:15 MYT
April 11, 2023 05:15 MYT
PUTRAJAYA: Sasaran jumlah pingat kontinjen negara yang akan berjuang pada Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja, bulan depan akan diumumkan pada 30 April ini.
Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin berkata sasaran pingat itu akan diumumkan pada majlis penyerahan bendera kontinjen negara ke Sukan SEA yang disempurnakan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh di Bukit Jalil.
"Kami (MSN) akan adakan bengkel penetapan sasaran Khamis ini (13 April) bersama semua wakil persatuan sukan, ketua jurulatih bersama pegawai Majlis Olimpik Malaysia untuk menilai prestasi terkini atlet sebelum tetapkan sasaran akhir kontinjen.
"Perjumpaan atlet pula akan dilakukan 28 April... kita adakan sesi motivasi, pengukuhan kerja berpasukan serta taklimat sukan selamat dihadiri menteri selain sesi penerangan termasuk mengenai perkembangan terkini dan apa dijangka berlaku di Kemboja," katanya kepada pemberita pada acara Larian Obor Sukan SEA 2023 di sini pada Selasa.
Beliau juga mengakui agak sukar menetapkan sasaran pada temasya sukan dwitahunan itu memandangkan terdapat 18 sukan tradisional yang bukan merupakan kekuatan kontinjen negara malah ada beberapa sukan dipertandingkan pada edisi 2021 di Vietnam tidak disenaraikan kembali oleh tuan rumah kali ini.
"Bagaimanapun, saya yakin barisan atlet daripada sukan lain yang biasa dianjurkan di Sukan SEA dan terus dipertandingkan di Kemboja, akan mempamerkan prestasi terbaik mereka untuk memberi pingat buat negara," katanya.
Pada Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam, yang diadakan pada Mei tahun lepas setelah tertangguh setahun susulan pandemik COVID-19, Malaysia sekadar menamatkan saingan di kedudukan keenam keseluruhan dengan kutipan 39 emas, 45 perak dan 90 gangsa.
Dalam pada itu, Jefri berkata sekretariat daripada MSN akan menjadi wakil pertama kontinjen Malaysia berlepas ke Kemboja pada 24 April ini bagi meninjau persiapan akhir tuan rumah.
Mengenai kebajikan atlet, beliau berkata MSN mempunyai prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang jangkitan wabak COVID-19 dalam kalangan kontinjen negara selain menyediakan pek makanan buat atlet yang mempunyai kekangan makanan sepanjang berada di sana.
Sukan SEA 2023 akan dibuka secara rasmi pada 5 Mei dan berakhir 17 Mei.
-- BERNAMA