Sasaran Piala Thomas realistik, medan bina kematangan - Rashid Sidek
Bernama
September 13, 2021 05:55 MYT
September 13, 2021 05:55 MYT
KUALA LUMPUR: Berbekalkan barisan pemain muda, sasaran Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi skuad kebangsaan untuk layak sekurang-kurangnya ke peringkat suku akhir pada kempen Piala Thomas di Aarhus, Denmark dari 9 hingga 17 Okt ini adalah realistik.
Legenda badminton negara Datuk Rashid Sidek berpendapat sasaran itu cukup memadai kerana selain diketuai Juara All England 2021 Lee Zii Jia dan dibarisi antaranya pemenang pingat gangsa acara beregu lelaki Sukan Olimpik Tokyo, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, rata-rata pemain lain adalah muda dan "masih mentah" untuk beraksi di kejohanan antarabangsa peringkat tertinggi.
"Kebanyakan pemain kurang pengalaman dan pendedahan, kadang-kala tahap mereka itu jika nak diikutkan tidak sampai lagi untuk beraksi di peringkat antarabangsa, jadi bagi saya sasaran kali ini adalah realistik.
"Sekiranya mereka melepasi sasaran seperti ke separuh akhir, ia lebih baik dan satu bonus untuk mereka," katanya kepada Bernama.
Bagaimanapun, Rashid yang merupakan sebahagian daripada barisan pemain yang menjulang Piala Thomas buat kali terakhir untuk negara pada 1992 di Kuala Lumpur berkata apa yang lebih penting adalah pemain harus menjadikan peluang beraksi di Piala Thomas sebagai medan untuk menimba pengalaman secukupnya.
Jurulatih kepada pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) Cheah Liek Hou itu, berkata pemain juga perlu bijak merebut peluang untuk membina tahap kematangan bermain di peringkat antarabangsa sekiranya diturunkan beraksi nanti.
"Menang dan kalah itu adat permainan, namun apa yang penting kutiplah pengalaman sebanyak mungkin. Amatlah rugi jika pemain tidak memanfaatkan peluang diberikan dengan menampilkan prestasi yang tidak diharapkan pada kejohanan itu," katanya..
Purata umur bagi pemain yang menggalas cabaran negara pada Piala Thomas, adalah 23 tahun dengan lima pemain berusia 24 tahun.
Selain Zii Jia, barisan pemain perseorangan lelaki pula diwakili Ng Tze Yong, Cheam June Wei, Leong Jun Hao dan Aidil Sholeh Ali Sadikin manakala pilihan selain Aaron-Wooi Yik bagi beregu lelaki adalah Goh Sze Fei-Nur Izzudin Rumsani, Man Wei Chong-Tee Kai Wun serta Low Hang Yee yang bertindak selaku pemain simpanan.
Dalam pada itu, seorang lagi bekas pemain badminton kebangsaan, Tan Boon Heong mahu menyaksikan semangat pasukan yang tinggi ditampilkan para pemain dalam usaha memberi cabaran kepada negara lain dalam saingan yang berlangsung di Ceres Arena itu.
Beliau yang merupakan sebahagian pemain yang meraih gelaran naib juara buat Malaysia pada edisi 2014, ketika bergandingan bersama Hoon Thien How dalam beregu lelaki, di New Delhi, India mengakui tidak meletakkan harapan tinggi kepada mereka dan berharap agar pemain khususnya muka-muka baharu untuk memberikan persembahan terbaik di Denmark.
Malaysia yang diletakkan sebagai pilihan ketujuh kejohanan diundi dalam Kumpulan D bersama-sama naib juara Piala Thomas 2018, Jepun serta England dan Kanada.
Selain Piala Thomas, purata umur skuad ke Piala Uber, juga berlangsung pada tarikh dan venue sama di Denmark, adalah 21 tahun dengan kapten pasukan yang juga pemain beregu wanita Lee Meng Yean, 27, adalah pemain paling senior.
Juara Sukan SEA 2019 di Filipina, S Kisona akan mengetuai cabaran negara di Piala Uber bagi perseorangan wanita, diikuti Eoon Qi Xuan, K Letshanaa dan Siti Nurshuhaini Azman manakala beregu wanita pula diwakili Meng Yean-Go Pei Kee, Pearly Tan-M Thinaah serta Yap Ling-Teoh Mei Xing.
Laluan sukar menanti pasukan Piala Uber negara pada peringkat kumpulan apabila diundi dalam Kumpulan D bersama juara 14 kali China, pasukan tuan rumah Denmark dan Kanada.
-- BERNAMA