Sasaran buat Nicol dilonggarkan

Astro Arena
November 24, 2018 20:07 MYT
Menurut S. Maniam, gelaran juara bukan lagi keutamaan buat ratu skuasy, Datuk Nicol David. - Gambar fail
PENGARAH Kejurulatihan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Mejar (B) S. Maniam, menganggap gelaran juara bukan lagi keutamaan buat ratu skuasy, Datuk Nicol David, selepas prestasinya kian menurun ketika ini.
Nicol menamatkan saingan Terbuka Hong Kong dalam pusingan kedua selepas tewas mengejut di tangan pemain England, Millie Tomplinson, prestasi terburuknya dalam jelajah Persatuan Skuasy Profesional (PSA).
Maniam tidak terkejut dengan keputusan itu untuk menerima hakikat bahawa bekas pemain nombor satu dunia itu sedang diatasi oleh pemain bertaraf dunia lain, apatah lagi dengan faktor usianya yang mencecah 35 tahun.
Bagaimanapun, SRAM memahami situasi itu dan tetap akan memberi sokongan kepada Nicol tanpa meletakkan sebarang sasaran selepas ini untuknya memburu kejuaraan.
"Jika dia menghadirkan keputusan positif, ia bagus. Jika gagal, biarkan dia nikmati apa yang dilakukan.
"Kami harus menerima hakikat ini adalah situasi yang perlu dilalui. Saya hanya mahu Nicol menikmati aksinya dan kami bersamanya," kata Maniam.
SRAM mengharapkan kebangkitan Nicol akan hadir di hadapan penyokong tanah air andai dia bersetuju untuk beraksi dalam Kejohanan Individu Asia 2019 di mana Malaysia akan menjadi tuan rumah, Mei tahun depan.
"Jelas sekali kami mahu Nicol beraksi di laman sendiri. Jika dia boleh menang untuk Malaysia, aksi di Kuala Lumpur menjadi pilihan saya."
#Nicol David #prestasi #PSA #ratu skuasy negara #s maniam #Skuasy #terbuka hong kong
;