Sasaran 35 pingat tanpa warna di Sukan Para Asia 2022 Hangzhou - MPM

Bernama
Oktober 15, 2023 17:06 MYT
Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin (tengah) bersama Ketua Kontinjen Negara (CDM) ke Sukan Para Asia Hangzhou 2022 K. M. Rajendran (kanan) ketika sidang media hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) meneruskan pendekatan formula sasaran pingat tanpa warna apabila menetapkan keseluruhan 35 pingat bagi kontinjen negara ke Sukan Para Asia Hangzhou 2022, China, minggu depan.
Presiden MPM, Datuk Megat D Shahriman Zaharudin, berkata sasaran rendah berbanding 68 pingat pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang, dibuat bersandarkan beberapa faktor antaranya 54 atlet daripada kontinjen 113 atlet adalah muka baharu dan penampilan sulung pada temasya kali ini.
"Kita sudah kehilangan 18 pingat ekoran acara tidak dipertandingkan kali ini seperti tenpin boling, boling padang serta faktor persaraan pemenang pingat sebelumnya.
"Selain itu, kita perlu akur faktor penurunan prestasi beberapa atlet penyumbang pingat di Indonesia sebelum ini. Ini juga merupakan kali kedua mereka (China) menjadi tuan rumah Sukan Para Asia jadi sudah tentu kontinjen mereka juga mensasarkan lebih banyak pingat," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman sasaran Kontinjen Malaysia ke Sukan Para Asia Hangzhou 2022 di Pusat Kecemerlangan Paralimpik Kampung Pandan, di sini, hari ini.
Menurutnya, tatkala usaha meningkatkan tahap prestasi atlet para negara dilakukan, negara-negara lain juga mengorak langkah sama dengan memberikan tumpuan lebih serius dalam soal pembangunan atlet para sekali gus bakal menjanjikan saingan sengit di temasya itu.
"Ia bukan lagi dianggap sebagai satu bentuk tanggungjawab sosial, atau menghantar atlet kurang upaya semata-mata berdasarkan semangat setiakawan dengan negara penganjur," katanya.
Megat D Shahriman berkata proses melahirkan seorang atlet para yang mampu mencapai tahap prestasi di pentas saingan tertinggi juga tidak terhasil sekelip mata, justeru sasaran diletakkan MPM dan MSN itu adalah realistik.
Bagaimanapun, beliau, optimis akan ada elemen kejutan dipamerkan atlet para negara yang akan mengambil bahagian dalam 14 jenis sukan membabitkan 104 acara apabila berlangsungnya temasya itu pada 22 hingga 28 Okt ini.
"MPM dan MSN percaya bahawa semua atlet negara yang membentuk kontinjen Malaysia ke Sukan Para Asia kali ini membawa bekal semangat jitu untuk mengharumkan nama negara dan tidak mustahil, sasaran pingat itu mampu untuk diatasi apabila mereka pulang daripada Hangzhou," katanya.
Terdahulu pada majlis perhimpunan tersebut turut menyaksikan MPM menerima tajaan sejumlah RM280,000 daripada pelbagai penaja untuk tujuan pembangunan atlet para dan Sukan Para Asia Hangzhou.
-- BERNAMA
#Majlis Paralimpik Malaysia #sasaran pingat #Sukan Para Asia Hangzhou 2022 #Majlis Sukan Negara
;