Sarri tidak khuatir ketumpulan Morata, Giroud

Astro Arena
Oktober 27, 2018 13:00 MYT
Morata dikritik atas persembahannya musim ini setelah hanya meledak tiga gol dalam 12 perlawanan sementara Giroud belum melakar sebarang gol dalam 10 perlawanan. Astro ARENA
PENGURUS Chelsea, Maurizio Sarri, menegaskan beliau tidak kecewa dengan prestasi penyerangnya, Alvaro Morata dan Olivier Giroud.
Morata dikritik atas persembahannya musim ini setelah hanya meledak tiga gol dalam 12 perlawanan sementara Giroud belum melakar sebarang gol dalam 10 perlawanan.
Walaupun Sarri berharap perubahan prestasi di jentera serangan, tumpuannya kepada pasukannya terarah secara menyeluruh - Chelsea menyumbat sekurang-kurangnya sekali dalam setiap enam perlawanan terakhir mereka.
"Kami tahu keistimewaan Giroud, biasanya dia tidak menjaringkan banyak gol dalam setiap musim tetapi dia sentiasa sangat berguna untuk pasukannya, oleh itu Giroud tidak menjadi masalah buat kami," katanya kepada akhbar UK.
"Morata telah menjaringkan dua gol untuk kami dalam lima perlawanan terakhirnya, namun saya fikir mereka mampu melakukan yang lebih baik lagi. Yang paling penting ialah kami terus bermain seperti ini."
Sarri menambah: "Sebulan yang lalu, kami bimbang tentang hakikat bahawa pemain tengah tidak mampu meledak gol. Namun, dalam tiga perlawanan terakhir, mereka telah mencetak gol yang baik.
"Saya fikir jika kami dapat terus bermain seperti ini, penyerang mungkin berpeluang lebih besar untuk menjaringkan gol."
Ruben Loftus-Cheek menjaringkan hatrik ke atas BATE dalam aksi Liga Europa semalam sementara pemain tengah, Ross Barkley, menyumbat gol penyamaan untuk berkongsi satu mata dengan Manchester United di tempat sendiri, minggu lalu.
Chelsea (20 gol) mempunyai serangan ketiga terbaik dalam Liga Perdana Inggeris -- di belakang Manchester City (26) dan Arsenal (22) -- serta muncul pertahanan ketiga terbaik (dibolosi tujuh kali).
Skuad bimbingan Sarri itu akan berkunjung ke Burnley dalam aksi EPL seterusnya esok.
#Alvaro Morata #bola sepak #Chelsea #Maurizio Sarri #Olivier Giroud
;