Sarri bakal ke Juventus

Ian Johan Ariff
Jun 14, 2019 15:26 MYT
Maurizio Sarri bakal ke Juventus selepas Chelsea setuju dengan jumlah pampasan. - Gambar fail.
PENGURUS Chelsea, Maurizio Sarri bakal menyertai juara Itali, Juventus selepas kedua-dua pasukan mencapai kata sepakat pada Khamis.
Menurut laporan BBC, Juventus bersetuju untuk membayar pampasan melebihi £5 juta (RM26.4 juta) selepas perbincangan diadakan kedua-dua pihak.
Perjanjian lengkap perpindahan tersebut dijangka siap seawal hari ini.
Sarri yang menyertai Chelsea dari Napoli pada Julai 2018, membimbing skuad the Blues memenangi Liga Europa dan menduduki tempat ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL).
Walaupun menandatangani perjanjian selama tiga tahun untuk kekal di Stamford Bridge, hubungan pengendali berusia 60 tahun itu dengan pemilik kelab, pemain dan penyokong dikatakan tidak baik.
Salah satu peristiwa yang memalukan Sarri melibatkan penjaga gol, Kepa Arrizabalaga yang enggan keluar padang, ketika Sarri mahu menggantikannya pada final Piala Carabao.
Akibatnya, Chelsea tumpas kepada Manchester City menerusi penentuan sepakan penalti.
Sarri juga dikritik penyokong-penyokong yang hadir ke stadium, terutama sekali terhadap keputusannya untuk mengekalkan Jorginho di bahagian pemain tengah bertahan walaupun N’golo Kante dianggap lebih baik di posisi itu.
Beliau menjadi pengurus sepenuh masa yang kesembilan untuk meninggalkan The Blues sejak pemilik Chelsea, Roman Abramovich mengambil alih kelab itu pada 2003.
Juventus tidak mempunyai pengurus sejak Massimiliano Allegri meninggalkan kelab itu penghujung musim lepas, walaupun memenangi lima gelaran Serie A sejak mengendali kelab itu pada 2014.
#Chelsea #EPL #Juventus #Kepa Arrizabalaga #Liga Perdana Inggeris #Massimiliano Allegri #Maurizio Sarri #Napoli #Stamford Bridge #The Blues
;