Sarawak penanda aras pembangunan atlet sukan akuatik negara - Hannah

Fadilah Sulaiman
Januari 9, 2023 14:09 MYT
Hannah Yeoh ditemui media semasa kunjungan hormat kepada Premier Sarawak di Wisma Bapa Malaysia dekat sini pada Isnin. - Gambar fail/Astro AWANI
KUCHING: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menjadikan Sarawak sebagai penanda aras bagi pembangunan atlet sukan akuatik negara, berdasarkan kepada pencapaiannya di pentas antarabangsa.
Menterinya Hannah Yeoh berkata, penilaian itu adalah dengan mengkaji pendekatan yang diambil negeri itu dalam mengenal pasti bakat dari usia muda seterusnya melatih mereka sehingga menjadi atlet negara.
“Kita ingin melihat kekuatan Sarawak (menerusi) acara serta aktiviti akuatik yang sentiasa menjadi kekuatan di negeri ini.
“Kita nak belajar bagaimana (sukan) akuatik ini begitu kuat di Sarawak dan apa yang membezakan Sarawak daripada negeri-negeri lain, apa yang anda lakukan di sini sejak kecil lagi untuk kanak-kanak, bagaimana mereka membangun dan menjadi Pandelela. Maka, ini adalah beberapa perbincangan yang sedang kita lihat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia dekat sini pada Isnin.
Dalam perjumpaan satu jam itu, antara fokus topik adalah aspek perpaduan di Bumi Kenyalang yang boleh diaplikasi ke dalam kementerian tersebut.
Beliau turut memaklumkan akan mengadakan perjumpaan bersama Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah Isnin depan bagi membincangkan strategi kedua-dua kementerian untuk bergerak seiring memanukan belia dan sukan negara.
Antara anak jati Sarawak yang berjaya melakarkan nama dalam sukan akuatik termasuklah Pandelela Rinong Pamg dan Bryon Nickson Lomas dalam acara terjun, manakala Welson Sim dan Hii Puong Weii dalam acara renang.
#Kementerian Belia dan Sukan #Hannah Yeoh #sukan akuatik #Sarawak
;