Sarawak mahu acara perasmian Sukan SEA 2027 berlangsung di Kuching

Bernama
Ogos 26, 2024 16:45 MYT
Abdul Karim berkata perkara itu telah dibawa ke kabinet Kerajaan Persekutuan untuk diputuskan. - Gambar fail
KUCHING: Sarawak mahu acara perasmian Sukan SEA 2027 diadakan di bandar raya Kuching selaku penganjur bersama temasya sukan itu.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata perkara itu telah dibawa ke kabinet Kerajaan Persekutuan untuk diputuskan.
"Namun, upacara penutupan masih fleksibel dan boleh diadakan di Kuala Lumpur atau lokasi lain yang dianggap sesuai oleh Kementerian Belia dan Sukan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata pembahagian venue sukan akan turut dibincangkan dengan 18 daripada 36 acara sukan dicadang diadakan di Kuching.
Abdul Karim berkata keputusan untuk menganjur Sukan SEA di beberapa bandar lain di Malaysia disifatkan mampu memberikan manfaat ekonomi dari segi peningkatan pelancongan dan perbelanjaan tempatan.
"Acara Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak baru-baru ini yang dibahagikan ke sembilan lokasi telah menunjukkan impak ekonomi yang positif di semua bahagian terlibat," katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan bersetuju menjadikan Sarawak sebagai penganjur bersama Sukan SEA 2027, susulan kejayaan serta kemampuan negeri itu dalam menganjurkan SUKMA 2024 yang terbaik pernah diadakan.
-- BERNAMA
#Sukma 2024 #Sukan SEA 2027 #Abdul Karim Rahman Hamzah #Anwar Ibrahim