Sarawak dan Rajagobal 'berpisah' berikutan prestasi kurang memuaskan

Astro Arena
Mei 10, 2016 10:44 MYT
Rajagobal berterima kasih kepada Sudarsono dan pengurusan persatuan kerana memberi peluang kepadanya. - Gambar fail
BERIKUTAN prestasi buruk dalam Liga Super, pengurusan tertinggi Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) dan Ketua Jurulatihnya, Datuk K Rajagobal membuat keputusan berpisah tidak sampai setengah musim pertandingan berlangsung.
Presiden FAS, Datu Sudarsono Osman berkata, keputusan itu dilakukan berikutan kedudukan pasukan Sarawak yang berada di luar jangkaan dan tidak diinginkan.
"Mungkin tidak ada keserasian antara pemain-pemain kita dan jurulatih untuk membawa kepada keputusan-keputusan yang kita banggakan.
"Maka dengan demikian kita telah menawarkan satu tanggungjawab yang lain kepada Datuk Rajagobal namun beliau menolak.
"Oleh itu kita sama-sama bersetuju untuk berpisah buat sementara waktu," kata Sudarsono dalam satu sidang media khas di Stadium Negeri petang tadi.
Kata Sudarsono, tanggungjawab ketua jurulatih Sarawak kini dipegang oleh David Usop, sama seperti situasi yang dialaminya pada musim lalu apabila mengambil alih tanggungjawab pada pertengahan musim daripada jurulatih David Mitchell.
"Datuk K Rajagobal telah menunjukkan komitmen yang tinggi sejak sebelum musim lagi namun malangnya keputusan-keputusan kebelakangan ini tidak menyebelahinya."
Sementara itu, Rajagobal dalam reaksinya berkata, beliau berterima kasih kepada Sudarsono dan pengurusan persatuan kerana memberi peluang kepadanya memimpin pasukan itu sebelum ini.
"Saya telah buat tugas dengan baik dan pemain bermain dengan komitmen yang tinggi, hanya keputusan yang akhir ini tidak memihak kepada kita.
"Saya berharap Sarawak dapat bermain dengan baik selepas ini dan layak ke Piala Malaysia.
Mungkin bukan sekarang katanya, tetapi dengan hati yang besar beliau berharap usahanya selama ini dapat membuat sesuatu untuk pasukan Sarawak dan bola sepak Sarawak.
"Ini keputusan yang kami capai bersama dan saya akui, tidak wujud sebarang masalah dengan pihak pengurusan kerana mereka memberi sokongan dan kepercayaan yang kukuh kepada saya," katanya.
Sudarsono dan Rajagobal sebelum ini pernah berganding sebagai Pengurus dan Ketua Jurulatih untuk skuad Harimau Malaya, dalam mengharungi beberapa piala di peringkat Asia Tenggara.
#FAS #k rajagobal #Liga Super #prestasi skuad Sarawak #Sarawak #Sudarsono osman
;