Sarawak bina gelanggang kriket, ragbi bertaraf antarabangsa bernilai RM13 juta
Bernama
Mac 15, 2021 06:57 MYT
Mac 15, 2021 06:57 MYT
KUCHING: Sarawak akan membina gelanggang kriket dan ragbi bertaraf antarabangsa dengan anggaran kos RM13 juta di Kompleks Sukan Petra Jaya di sini tahun ini, kata Menteri Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.
Beliau berkata pembinaan yang telah mendapat kelulusan kerajaan negeri itu akan dibina di atas tanah seluas 4.45 hektar.
Katanya, perunding untuk pembinaan padang telah dilantik dan tender untuk projek yang terbahagi kepada dua fasa akan segera dikeluarkan.
"Kami harap tender dapat dikeluarkan pada atau selepas pertengahan tahun ini, dan dalam tempoh setahun, fasa pertama akan siap," katanya selepas pelancaran Pusat Prestasi Tinggi (HPC) untuk sukan kriket di Kompleks Sukan Petra Jaya semalam.
Abdul Karim berkata, fasa pertama projek itu, yang menelan belanja kira-kira RM6 juta, akan melibatkan kerja-kerja meratakan kawasan seluas 4.45 hektar dengan memotong kawasan berbukit dan membina sistem saliran yang sesuai.
"Mudah-mudahan, menjelang pertengahan tahun depan, tanah dapat diratakan agar kerja pembinaan padang ragbi dan kriket dapat dijalankan...pembinaan astaka (kemudahan) dapat dilakukan kemudian dalam fasa kedua," katanya.
Abdul Karim berkata apabila siap pembinaan, Sarawak akan dapat menganjurkan kejohanan kriket dan ragbi peringkat kebangsaan serta antarabangsa.
Pada pelancaran semalam, Sarawak Sports Corporation membina HPC baharu untuk sukan kriket dengan lima padang latihan tiruan, kawasan latihan sintetik termasuk padang latihan pukulan 25 meter lengkap dengan jaring keselamatan setinggi 6 meter, yang mana ia setanding dengan kemudahan latihan bertaraf dunia seperti di Australia dan New Zealand.
-- BERNAMA
#kerajaan
#sukan
#keselamatan
#gelanggang
#Kriket
#Ragbi
#Sarawak
#Kompleks Sukan Petra Jaya
#Abdul Karim Rahman Hamzah
#kelulusan
#kerajaan negeri Sarawak
#tender
#Padang
#sistem saliran
#Pusat Prestasi Tinggi
#HPC